BANGKOK, 5 NOV – Pengundian menunjukkan pilihan raya Amerika Syarikat (AS) dalam keadaan sengit, tetapi semasa rakyat AS keluar mengundi, anak badak air Thailand yang terkenal, Moo Deng, meramalkan bekas presiden Donald Trump akan kembali ke Rumah Putih.
Moo Deng yang comel itu menjadi sensasi di Internet dengan gelagatnya yang menghiburkan di Zoo Terbuka Khao Kheow, dengan cepat menjadi bahan meme di media sosial dan memacu pelbagai produk dagangan. Kini, Moo Deng telah meramalkan kemenangan kembali untuk Republikan berbanding Demokrat, Kamala Harris.
Dihidangkan dengan dua hidangan buah yang diukir dengan nama calon yang bertanding, anak badak air yang berumur empat bulan itu memilih Trump, dalam video yang dimuat naik dalam talian oleh zoo tersebut.
Moo Deng menjadi popular di AS, di mana pelawak Bowen Yang menggambarkannya dalam sketsa komedi Saturday Night Live. Dia juga mengalahkan kedua-dua Trump dan Harris dalam satu tinjauan presiden tidak rasmi yang dijalankan oleh The Tonight Show, dengan meraih 93 peratus undi.
Walaupun kebolehan badak air itu meramal masih belum banyak diuji, haiwan lain menjadi terkenal selepas meramalkan keputusan acara dunia, yang paling terkenal sotong Gurita bernama Paul. – AFP