KUALA LUMPUR, 31 MAC – Kewangan Islam dijangka terus berkembang pada 2020 dan seterusnya berikutan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Malaysia membantu memacu pertumbuhan dalam produk kewangan patuh Syariah, walaupun COVID-19 boleh menganggu terbitan sukuk, menurut Moody’s Investors Service.
Dalam laporan hari ini, agensi penarafan itu berkata Arab Saudi akan kekal menjadi pasaran perbankan Islam terbesar di dunia manakala sektor itu akan terus berkembang dengan pesat di Malaysia.
“Kami menjangka terbitan sukuk akan kekal stabil pada sekitar AS$180 bilion pada tahun ini, dan pasaran insurans takaful akan menyaksikan pertumbuhan yang kukuh berikutan premium insurans meningkat dalam pasaran yang baru ditembusi,” kata Naib Presiden merangkap Pegawai Kredit Kanan Moody’s Nitish Bhojnagarwala.
Bagaimanapun,risiko meningkat berikutan pandemik COVID-19 dan gangguan pasaran yang berpanjangan boleh menghalang penerbit daripada memasuki pasaran, katanya. – Bernama