SEOUL, 22 Ogos – Presiden Korea Selatan Moon Jae-in akan mengadakan sidang kemuncak dengan rakan sejawatannya dari Rusia, Vladimir Putin di Vladivostok bulan depan, menurut kenyataan pejabat presiden hari ini.
Agensi berita Korea Selatan Yonhap melaporkan sidang kemuncak itu sempena Forum Ekonomi Timur yang akan dihadiri Presiden Moon pada 6 hingga 7 September.
“Presiden Moon merancang mengadakan sidang kemuncak Korea-Rusia semasa kunjungannya nanti,” kata jurucakap pejabat presiden Park Soo-hyun.
Forum dijangka menumpukan kepada potensi ekonomi dan pembangunan di timur jauh Rusia dan peluang kepada ahli perniagaan Korea Selatan meneroka peluang perniagaan baharu.
Peluang itu juga akan digunakan bagi berbincang mengenai usaha serantau untuk mengekang program nuklear dan peluru berpandu Korea Utara.
Rusia yang masih mengekalkan hubungan rapat dengan Pyongyang turut menyuarakan tentangannya terhadap ujian peluru berpandu jarak jauh yang dilancarkan Korea Utara baru-baru ini, membolehkan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) sebulat suara menerima pakai resolusi bagi mengenakan sekatan terhadap Korea Utara.
Namun, Moscow bersama Beijing masih dilihat keberatan mengenakan sekatan lebih keras terhadap Korea Utara sebagaimana dimahukan Seoul dan Amerika Syarikat.
Presiden Korea Selatan juga dijadual berlepas ke New York pada 18 September untuk menghadiri Perhimpunan Agung PBB dan dijadual menyampaikan ucaptama pada majlis pembukaan.
Beliau kemudian dijangka menghadiri sidang Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik di Vietnam pada 10 hingga 11 November disusuli Sidang Kemuncak Tahunan (ASEAN) Campur Tiga di Filipina. – Bernama