HOLLYWOOD, Amerika Syarikat, 27 Feb – Drama “Moonlight” memenangi anugerah filem terbaik pada Oscars semalam, namun malam tersebut berakhir dalam keadaan kelam-kabut tatkala La La Land yang telah pun memenangi enam hadiah, tersilap diumumkan sebagai pemenang anugerah itu sebelum Moonlight diumumkan sebagai pemenang sebenar.
Sehingga minit-minit terakhir, malam terbesar industri filem telah berjalan dengan lancar, dan diselang-seli dengan kenyataan politik, terutamanya sindiran pada Presiden Donald Trump dan gurauan tidak serius daripada pengacara Jimmy Kimmel.
Namun kesilapan epik mengenai anugerah terakhir merupakan mimpi ngeri acara terakhir yang tidak ingin dilihat oleh sesiapa di Hollywood.
Legenda Tinseltown Warren Beaty dan Faye Dunaway, bintang drama klasik jenayah 1967 Bonnie and Clyde, bertujuan memberikan Oscars filem terbaik kepada filem Barry Jenkins tetapi beliau tersilap mengumumkannya untuk filem muzikal Damien Chazelle.
Adegan kekeliruan dan rasa malu menyusuli selepas krew La La Land telah pun berada di pentas dan menyampaikan ucapan, secara tiba-tiba menyedari kesilapan tersebut dan mengumumkan sendiri bahawa Moonlight sebenarnya telah menang, mendorong Beaty menggumam kenyataan maaf.
Pelakon dan pengarah veteran itu, 79, berkata beliau telah diberikan sampul yang salah, sampul yang mengandungi kad yang mengumumkan kemenangan aktres terbaik bintang La La Land Emma Stone.
Stone berkata di belakang pentas beliau telah berpegang pada sampulnya sepanjang masa, walaupun gambar mengenai kekecohan nampaknya menyokong penjelasan Beaty.
Beberapa laporan mencadangkan dua set sampul biasanya wujud ketika majlis, satu di kedua-dua bahagian pentas.
“Ia jelasnya mengelirukan, maka kami fikir beliau bersikap malu-malu tetapi pada hakikatnya, beliau bingung kenapa namanya berada di sampul berkenaan,” beritahu pengacara Jimmy Kimmel kepada ABC selepas acara.
Setakat ini, Akademi Seni dan Sains Filem belum mengeluarkan kenyataan formal mengenai kekeliruan memalukan itu. – AFP