LOS ANGELES, 29 DIS – Memphis Grizzlies berjaya memenangi perlawanan pertama musim NBA, akan tetapi pemain Rookie of the Year, Ja Morant terpaksa dikeluarkan selepas mengalami kecederaan buku lali pada separuh masa pertama semasa kemenangan 116-111 ke atas Brooklyn Nets.
Morant berjaya menghalang percubaan dari penyerang Brooklyn, Timothe Luwawu-Cabarrot dengan perlawanan berbaki kurang dari tiga minit dalam separuh masa pertama, namun terseliuh ketika membuat pendaratan dan terpaksa dikeluarkan dari gelanggang.
Dia dibawa ke bilik lokar menggunakan kerusi roda, dengan Grizzlies kemudian berkata menerusi Twitter bahawa diagnosis awal menunjukkan dia terseliuh buku lali pada bahagian kiri.
Morant menyaksikan perlawanan dari tepi gelanggang ketika Grizzlies memburu kemenangan, berdiri sepanjang minit-minit akhir perlawanan – dengan memakai but perlindungan di bahagian yang tercedera.
Kyle Anderson memimpin Grizzlies dengan 28 mata – mencatat empat percubaan tiga mata yang terbaik dalam kariernya – dan Dillon Brooks menambah 24 mata.
Dalam perlawanan tersebut, Anderson mensia-siakan tiga dari empat lontaran percuma pada masa tambahan, selepas dia meraih rebound apabila pemain Brooklyn, Joe Harris gagal membuat jaringan tiga mata yang berkemungkinan dapat memenangi perlawanan dengan perlawanan berbaki 5.6 saat.
Tetapi kehilangan Morant merupakan satu kerugian buat Grizzlies. Bintang berusia 21 tahun secara purata menjaringkan 36 mata dalam dua perlawanan pertama pada musim ini. – AFP
