MILAN, 1 JULAI – Alvaro Morata akan kembali ke Atletico Madrid selepas tempoh pinjamannya di Juventus tamat, menurut pengumuman yang dikeluarkan oleh kelab Serie A itu kelmarin.
Morata yang juga penyerang antarabangsa Sepanyol, akan meninggalkan Turin selepas kedua-dua buah kelab tersebut gagal mencapai persetujuan yang membolehkannya untuk terus kekal di Itali.
“Perjalanan Alvaro Morata di Juventus telah sampai ke penghujungnya,” kata kelab Itali itu dalam satu kenyataan.
“Penyerang Sepanyol yang dipinjamkan dari Atletico Madrid sejak dua musim lalu itu, meninggalkan Bianconeri buat kali kedua dan akan kembali ke Colchoneros,” tambah kenyataan tersebut.
Morata berada dalam tempoh kedua di Juve selepas dipinjamkan oleh Atletico pada 2020 dan memenangi Piala Itali pada tahun berikutnya serta menjaringkan sebanyak 32 gol dalam semua pertandingan.
Dia sebelum ini bermain untuk kelab tersebut antara 2014 dan 2016, apabila dia memenangi dua liga, piala Double dan mara ke final Liga Juara-Juara pada 2015.
Pemain berusia 29 tahun itu juga berkata bahawa dia gembira berada di Juventus dan mahu kekal di Turin.
“Berpeluang menyarungkan jersi ini ialah salah satu perkara terbaik yang pernah berlaku kepada saya,” kata Morata dalam mesej perpisahannya melalui Instagram.
Juventus dilaporkan perlu membayar 35 juta euro untuk membuat perpindahan Morata secara kekal mengikut perjanjian yang dicapai dengan Atletico, tetapi media Itali melaporkan dia masih boleh kembali jika pasukan Sepanyol itu menurunkan harga yang diminta pada musim panas nanti. – AFP
