Tuesday, July 15, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Morbidelli sasar podium di GP Austria

    KUALA LUMPUR, 12 OGOS – Baru sahaja merangkul tempat kedua pada perlumbaan MotoGP Dunia di Grand Prix (GP) Republik Czech, pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Franco Morbidelli teruja untuk meneruskan permulaan sempurna di GP Austria, hujung minggu ini.

    Pelumba Itali berusia 25 tahun ini, akhirnya menamatkan kemarau podium sejak 2018 di Litar Brno, hujung minggu lepas, bagaimanapun tetap optimis peluangnya untuk menaiki podium sekali lagi di Litar Red Bull Ring di Sielberg, dianggap antara litar paling sukar dalam kalendar Kejuaraan Dunia MotoGP.

    “Atas kertas ia tidak kelihatan seperti satu daripada litar terkuat kami, tetapi itu hanya atas kertas! Kita akan lihat keadaannya nanti dan bagaimana kami hadapi sesi latihan pertama pada Jumaat,” katanya seperti yang dipetik dalam kenyataan yang dikeluarkan pasukan itu hari ini.

    “Saya sangat-sangat teruja dan tidak sabar untuk kembali ke litar,” tambah beliau.

    Rakan sepasukan, Fabio Quartararo, sebaliknya, mahu melupakan kekecewaannya di Litar Brno, dan berharap dapat bangkit kembali untuk penamat podium ketiganya musim ini.

    Pelumba Perancis berusia 21 tahun ini yang menduduki tempat ketujuh di GP Republik Czech baru-baru ini, apabila bergelut dengan masalah tayar selepas tinggal tujuh lagi pusingan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda