Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Morikawa tamat kemarau kejuaraan

    INZAI, 22 OKT – Collin Morikawa berkata dia berjaya menemui semula ‘rentak permainan yang dirindukan’ selepas menamatkan dua tahun kemarau kejuaraan dengan kemenangan gemilang di Kejohanan Zozo Jelajah PGA Amerika Syarikat (AS) di Jepun hari ini.

    Juara dua kali kejohanan utama itu menamatkan pertandingan dengan enam pukulan lebih baik di Narashino Country Club selepas melakukan tujuh birdie untuk mencatatkan 63 pukulan tanpa bogey dan menamatkan perlawanan dengan 14-bawah secara keseluruhan.

    Ini memberikan pemain berusia 26 tahun itu kemenangan keenamnya dalam Jelajah PGA AS dan gelaran pertamanya sejak Kejohanan Jelajah DP World 2021 di Dubai.

    Morikawa berkata kemenangan tersebut ‘sangat bermakna’ baginya.

    “Mengalami kemarau selama dua tahun ini, hanya bergelut pada sesetengah masa, tidak benar-benar bersaing, untuk melakukan apa yang saya lakukan sepanjang minggu ini – itulah golf yang saya rindukan,” kata Morikawa, yang kemenangan Jelajah PGA AS terakhirnya adalah di Terbuka British 2021.

    Morikawa bergambar bersama trofi selepas memenangi Kejohanan Zozo Jelajah PGA AS di Narashino Country Club di Inzai, pinggir Tokyo, kelmarin. – AP

    “Untuk melihatnya sekali lagi, ia sangat mengujakan untuk mengakhiri tahun ini dan menuju ke tahun depan.”

    Morikawa bermain di kejohanan pertamanya sejak menjadi sebahagian daripada pasukan AS yang gagal mengekalkan Piala Ryder di Rom.

    Dia mendahului selepas pusingan pertama acara 78 pemain tanpa penyingkiran di pinggir bandar Tokyo tetapi menjadi perlahan sebelum bangkit semula pada pusingan ketiga dengan lima birdie di enam lubang terakhir.

    Dia meneruskan rentak cemerlang itu pada hari terakhir, melakukan empat birdie di sembilan lubang pertama untuk muncul sebagai pendahulu.

    Dia mengesahkan kemenangan dengan satu birdie terakhir untuk mencipta rekod baharu bagi margin kemenangan terbesar dalam kejohanan itu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda