Monday, March 10, 2025
27.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Morikawa ungguli Jelajah PGA

    MIAMI, 9 MAC – Collin Morikawa mencatat lima bawah par 67 untuk membuka kelebihan satu pukulan di Arnold Palmer Invitational PGA Tour di Florida kelmarin.

    Juara dua kali major ini, yang sedang mengejar kemenangan pertamanya sejak Oktober 2023, membenam dua birdie dalam tiga lubang terakhirnya untuk mendahului di depan penonton yang ramai di Bay Hill Club & Lodge di Orlando.

    Pemain nombor lima dunia yang berusia 28 tahun dari California itu mencatat enam birdie dan hanya satu bogey dalam pusingan cemerlang yang menyaksinya di kedudukan bawah 10 selepas 54 lubang.

    Aksi hebat Morikawa bermula di par-lima di lubang 16, apabila dia melakukan pukulan istimewa dalam jarak enam kaki sebelum melihat pukulan birdienya melencong tersasar sebelum masuk untuk membawa kedudukannya ke bawah sembilan.

    Dia hampir merampas pendahuluan secara solo di par-tiga di lubang 17, tetapi kali ini terpaksa berpuas hati dengan par apabila pukulan birdie sepanjang 11 kaki tersasar dari lubang.

    Namun Morikawa tidak perlu menunggu lama untuk mendahului kumpulan pemain. Selepas sampai di kawasan green dengan dua mata di lubang ke-18, dia dengan tenang memasukkan putt 11 kaki untuk birdie untuk meraih pendahuluan.

    Ia menandakan prestasi cemerlang Morikawa yang sebelum ini bergelut dalam dua kunjungan terakhirnya ke Bay Hill, terlepas mata dalam kedua-dua acara.

    Morikawa mengatakan bahawa permainan yang lebih terkawal telah menjadi asas kebangkitannya minggu ini.

    “Awda perlu membuat pukulan yang baik di sini,” katanya. “Saya rasa saya mempunyai lebih banyak kawalan selama tiga hari pertama ini dan hanya perlu teruskan dengan strategi permainan itu esok. Ia benar-benar tentang kesabaran dan menerima dua pukulan yang mudah untuk par.

    “Di padang seperti ini, awda hanya perlu mempunyai kawalan penuh terhadap bola golf awda – dan itulah yang akan diperlukan esok,” tambah pemenang Terbuka Britain 2021 itu. – AFP

    Collin Morikawa memukul bola semasa pusingan ketiga Arnold Palmer Invitational pada 8 Mac, di Orlando, Florida. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda