MOSCOW, 17 JULAI – Presiden Vladimir Putin telah mengarahkan latihan tentera kilat membabitkan 150,000 kakitangan dan ratusan pesawat udara dan kapal tentera laut untuk menjamin ‘keselamatan di kawasan barat daya Rusia’, kata kementerian pertahanan hari ini.
“Sejajar dengan keputusan Ketua Komander Angkatan Bersenjata Rusia, latihan kilat sedang dijalankan oleh tentera daerah Selatan dan Barat,” Menteri Pertahanan, Sergei Shoigu dipetik sebagai berkata dalam satu kenyataan.
Latihan membabitkan hampir 150,000 kakitangan termasuk tentera laut dan infantri laut Armada Utara dan Pasifik, kata kementerian pertahanan. Latihan juga melibatkan lebih 400 pesawat udara dan lebih 100 kapal dan akan dijalankan di Laut Hitam dan Caspian.
Latihan bertujuan menguji kesediaan tentera Rusia untuk menjamin ‘keselamatan di barat daya Rusia di mana ancaman keganasan serius masih wujud’ serta persediaan untuk latihan perang Caucasus 2020, kata kementerian pertahanan.
Pada awal bulan ini, Putin menyelia pengundian kontroversi yang meminda perlembagaan untuk membolehkannya berkhidmat dua penggal enam tahun lagi selepas mandatnya berakhir pada 2024. – AFP