Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Moscow, Riyadh dan OPEC+ terus kurangkan keluaran minyak

    VIENNA, 4 MAC – Moscow, Riyadh dan beberapa anggota OPEC+ lain kelmarin mengumumkan pelanjutan kepada pengurangan pengeluaran minyak yang diumumkan pertama kali pada 2023 sebagai sebahagian daripada perjanjian antara pengeluar minyak untuk meningkatkan harga berikutan ketidaktentuan ekonomi.

    Rancangan untuk melanjutkan pengurangan itu hingga pertengahan 2024 adalah kesinambungan daripada pemotongan sebelumnya untuk kedua-dua pengeluaran, minyak dan eksport, kerana beberapa pengeluar tenaga terbesar dunia berusaha untuk menaikkan kadar pasaran.

    Kementerian Tenaga Arab Saudi berkata, ia akan mengurangkan pengeluarannya sebanyak satu juta tong sehari (bpd) dari April hingga Jun (Q2), manakala Rusia mengumumkan pemotongan 471,000 bpd pada Q2.

    “Untuk mengekalkan kestabilan pasaran, pengurangan tambahan itu akan dipulihkan secara beransur-ansur bergantung kepada keadaan pasaran,” selepas penghujung suku kedua, kata Timbalan Perdana Menteri Rusia, Alexander Novak.

    Rancangan kedua-dua buah negara adalah tambahan kepada pengurangan 500,000 bpd yang diumumkan pada April 2023, berlangsung sehingga akhir 2024.

    UAE, Kuwait, Iraq dan Kazakhstan turut mengikutinya, dengan mengatakan mereka akan melanjutkan pengurangan sedia ada secara sukarela sehingga akhir Jun.

    Perikatan minyak OPEC+ daripada 22 buah negara telah melaksanakan pengurangan bekalan lebih lima juta tong sehari (bpd) sejak akhir 2022.

    Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada 2022 menyebabkan harga minyak meningkat kepada AS$140, meningkatkan pendapatan di seluruh industri. – AFP

    Gambar fail menunjukkan logo Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleoum (OPEC) dilihat di luar ibu pejabat OPEC di Vienna, Austria pada 3 Mac 2022. Beberapa ahli pengeluar minyak OPEC, diketuai oleh Arab Saudi, dan pengeluar sekutu seperti Rusia sekali lagi memperdalam pengurangan bekalan minyak mentah sukarela mereka. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...