ALOR GAJAH, 29 April – Kementarian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) menyediakan insentif berbentuk pembangunan infrastruktur dalam usaha membantu memaju industri inap desa di negara ini, kata Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Beliau berkata insentif meliputi pembangunan infrastruktur seperti dewan terbuka bertujuan menyediakan prasarana yang lebih baik dan selesa untuk pengusaha inap desa melaksanakan pelbagai aktiviti bagi menarik kedatangan pengunjung atau pelancong ke premis mereka.
Bagaimanapun, katanya, mereka perlu mematuhi beberapa kriteria yang ditetapkan termasuk sekurang-kurangnya satu kampung atau kawasan perlu mempunyai minimum 10 peserta inap desa atau rumah yang terlibat.
“Insentif ini dilihat bukan sahaja dapat memberi keselesaan kepada pengunjung namun secara tidak langsung, ia dapat membantu pembangunan prasarana atau infrastruktur yang lebih baik dan terancang di kawasan inap desa.
“Justeru itu, kita menggesa lebih ramai pengusaha inap desa di negara ini agar berdaftar di bawah MOTAC bagi memastikan mereka mendapat beberapa manfaat dalam usaha untuk memajukan industri tersebut dan menjana pendapatan lumayan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Pecah Tanah Dewan Terbuka Orang Ramai Homestay Kampung Paya Lebar di Masjid Tanah di sini, hari ini. – Bernama