PUTRAJAYA, 15 JAN – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang menjalankan siasatan terhadap sebuah syarikat pelancongan berlesen yang didakwa gagal menerbangkan jemaah umrah, semalam.
MOTAC turut menyarankan supaya syarikat berkenaan menunaikan tempahan jemaah yang telah membuat bayaran penuh dan menerbangkan mereka mengikut jadual penerbangan seperti dipersetujui.
Bagi yang memohon pembatalan pakej umrah pula, syarikat berkenaan diminta memulangkan wang kepada jemaah yang berbuat demikian.
“Buat masa ini, syarikat telah dinasihati agar tidak mengambil tempahan daripada jemaah umrah baharu sehingga menyelesaikan semua tempahan terdahulu,” menurut MOTAC dalam kenyataan hari ini.
MOTAC turut mengingatkan syarikat pelancongan yang terlibat dengan pakej umrah supaya jujur dan telus dalam melaksanakan perniagaan.
Menurut MOTAC, isu seperti kegagalan menerbangkan jemaah mengikut perancangan asal dan kegagalan memulangkan wang apabila berlaku perubahan akan menjejaskan industri berkenaan.
“Ini bukan sahaja akan mencemarkan imej industri tetapi juga membawa kepada kehilangan keyakinan dalam kalangan jemaah untuk memilih syarikat pelancongan berlesen tempatan untuk menunaikan umrah,” menurut kenyataan itu. – Bernama