Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 FEB – Dalam usaha untuk meningkatkan motivasi para murid supaya berjaya dan mendorong ke arah daya usaha yang kuat untuk kecemerlangan, Sekolah Rendah IQRA mengadakan program motivasi bertajuk Be The Best, Do The Best, Get The Best, baru-baru ini.
Program motivasi berkenaan telah disampaikan oleh Pengarah Engage Minds Learning International School, Haji Abdul Rahman bin Haji Nawi. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Sekolah Rendah IQRA di sini, ke arah mencapai usaha murni itu, pihak sekolah telah menjemput pelajar Tahun 6 bersama para ibu bapa mereka untuk menghadiri program motivasi berkenaan.
Kenyataan menyatakan bahawa turut hadir pada program berkenaan ialah Hajah Maizatul Hasmawita binti Haji Mashud sebagai pengerusi program motivasi dan Guru Besar Sekolah Rendah IQRA, Haji Zulkifli bin Haji Ladis.
Antara isi kandungan program tersebut adalah kepentingan peranan ibu bapa dalam memastikan pembelajaran anak mereka.
Serta memberi tip perkongsian ilmu dan kaedah menjawab serta memahami soalan dan pembahagian masa belajar yang efisien dan produktif di rumah.
