Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Sebagai persiapan bagi menempuh peperiksaan dari segi mental, fizikal dan spiritual, Unit Bimbingan dan Motivasi di bawah Bahagian Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kampung Rimba telah menganjurkan Program Motivasi bagi para pelajar Tahun 8 di ruang legar sekolah berkenaan kelmarin.
Program yang dikendalikan fasilitator dari ‘BeManfaat’ diketuai oleh Haji Abdul Rahman bin Haji Nawi itu diisikan dengan ceramah motivasi kepada pelajar-pelajar untuk membuka minda dan membangunkan keyakinan diri. Acara diteruskan dengan aktiviti ‘teambuilding’ bagi memantapkan lagi cara berfikir dan kemahiran sosial para pelajar.
Tujuan program motivasi tersebut antara lain menyuntik semangat dan dorongan yang positif kepada para pelajar agar berusaha, berdedikasi dan konsisten dalam mencapai impian mereka.
Di samping itu, ia juga bagi memotivasikan para pelajar supaya lebih bertanggungjawab dalam pembelajaran masing-masing ke arah menghasilkan individu yang mampu berdikari dan menguasai ilmu secara holistik.
