Thursday, February 6, 2025
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    MotoGP Jepun: Martin tewaskan Bagnaia

    MOTEGI, JEPUN, 1 OKT – Jorge Martin berjaya merapatkan jurang dengan pendahulu kejuaraan, Francesco Bagnaia kepada hanya tiga mata dengan baki enam perlumbaan hari ini selepas memenangi MotoGP Jepun yang terpaksa dihentikan awal disebabkan hujan.

    Bermula dari petak pertama, penunggang dari Sepanyol itu telah berjaya mengurangkan perbezaan dengan Bagnaia dari Itali kepada hanya lapan mata kelmarin dengan kemenangan pecut ketiga berturut-turut dan kemenangan kelima pada musim ini.

    Bagnaia dari pasukan Ducati menduduki tempat kedua dalam perlumbaan, menjadikan jumlah mata juara dunia bertahan itu sebanyak 319 berbanding 316 bagi Martin dari pasukan satelit Ducati, Pramac. Marc Marquez pula menduduki tempat ketiga.

    Perlumbaan 24 pusingan bermula di bawah langit mendung dan hujan renyai-renyai yang bertambah lebat ketika perlumbaan bermula di litar berbukit Motegi.

    Keadaan yang basah dengan selekoh yang licin dan percikan air mencipta jalan yang berbahaya dan kebanyakan penunggang memasuki pit awal untuk menukar tayar.

    Martin dan Bagnaia berjaya memulihkan kedudukan mereka di tangga teratas sebelum penganjur menggantung perlumbaan dengan berbaki 12 pusingan.

    Mereka mencuba untuk memulakan semula perlumbaan tetapi bendera merah dikeluarkan sekali lagi dan para penunggang diberikan mata penuh mengikut kedudukan mereka ketika perlumbaan dihentikan.

    “Saya bertekad untuk mencapai prestasi cemerlang hari ini,” kata Martin selepas perlumbaan.

    “Saya berasa sangat yakin dengan cengkaman tayar belakang dan berjaya mengekori mereka semua (selepas hentian pit) dan menghasilkan jurang ini untuk memenangi perlumbaan hari ini,” tambahnya. – AFP

    Jorge Martin meraikan kejayaannya di atas podium MotoGP Grand Prix Jepun di Mobility Resort Motegi di Motegi, wilayah Tochigi kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda