Tuesday, July 22, 2025
30 C
Brunei

    Berita Terkini

    MotoGP kembali ke Buenos Aires lepas 30 tahun

    BUENOS AIRES, 22 JULAI – Selepas hampir tiga dekad, MotoGP akan kembali ke ibu negara Argentina, Buenos Aires dan litar lumba yang telah diubah suai pada 2027, dengan pihak berkuasa tempatan turut berharap akan kembalikan Formula 1 juga.

    Acara motosikal terkemuka itu telah melangsungkan perlumbaannya di Argentina di litar lumba Termas de Río Hondo sejak 2014, di wilayah Santiago del Estero dan kali terakhir perlumbaan MotoGP di Buenos Aires adalah pada 1999.

    “Buenos Aires pernah menjadi ibu kota sukan permotoran di rantau ini dan hari ini ia mula mendapat semula status itu,” kata Datuk Bandar Jorge Macri kelmarin semasa membuat pengumuman di litar lumba Óscar and Juan Gálvez.

    “Tetapi kami mahukan lebih lagi: ini adalah langkah pertama untuk memohon semula untuk menjadi tuan rumah Formula 1,” tambahnya.

    Untuk menjadi tuan rumah acara MotoGP, ibu negara Argentina tersebut komited untuk pengubahsuaian lengkap litar lumba pada bulan Oktober.

    Kerja-kerja di litar itu akan termasuk trek, pit, paddock, bampar dan zon keselamatan, menurut Dewan Bandaraya Buenos Aires.

    Penganjur menganggarkan bahawa MotoGP akan menyumbang kepada ekonomi secara langsung ke atas bandar raya itu dengan kira-kira AS$150 juta. Ia juga akan menjana pekerjaan dalam sektor seperti hospitaliti, gastronomi, pengangkutan dan perkhidmatan.

    “Membawa MotoGP ke bandar bermakna ketibaan satu persaingan elit melibatkan pasukan dan pelumba antarabangsa yang akan dinikmati oleh kira-kira 150,000 orang di trek dan berjuta-juta penonton melalui televisyen dan penstriman di lebih 200 negara,” kata Macri.

    Legenda perlumbaan seperti Juan Manuel Fangio dan Michael Schumacher pernah beraksi di litar tersebut pada masa lalu dan pemandu Jerman itu memenangi perlumbaan F1 terakhir di sana pada 1998. – AP

    Antara aksi perlumbaan MotoGP, Grand Prix Jerman pada 13 Julai. MotoGP bakal kembali ke Buenos Aires, Argentina. – Gambar fail AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda