SEPANG, 30 Jan – Pakar pecut Ducati Team, Jorge Lorenzo, menamatkan ujian pra-musim sejuk MotoGP 2018 dengan pencapaian cemerlang apabila memecah rekod pusingan dan muncul penunggang terpantas pada hari terakhir di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini.
Lorenzo, 30, juara dunia lima kali, termasuk tiga dalam kategori kelas premier, mempamerkan aksi mengagumkan dalam cuaca membahang untuk mencatat masa satu minit, 58.830 saat pada pusingan ke-21 dan 48, sekali gus mencipta rekod baharu bagi motosikal di SIC.
Penunggang Repsol Honda Team, Dani Pedrosa menduduki tempat kedua dengan masa 1:59.009s selepas warga Sepanyol berusia 32 tahun itu merupakan satu-satunya penunggang yang tidak memperbaiki kedudukan pada ujian semalam, setelah mencatat masa terpantas pada Ahad.
Cal Crutchlow daripada pasukan LCR Honda Castrol meraih tempat ketiga dengan catatan masa 1:59.052s, manakala rakan sepasukan Lorenzo, Andrea Dovizioso dari Itali, mencatat masa 1:59.169s untuk menduduki tempat keempat.
Bagaimanapun, juara bertahan, Marc Marques daripada Repsol Honda Team, yang dinobatkan sebagai juara pada 2017 bagi mengekalkan gelaran juara yang disandangnya pada 2016, hanya mampu menduduki tempat ketujuh setelah mencatat masa 1:59.382s.
Sementara itu, dua penunggang handalan Movistar Yamaha MotoGP, Maverick Vinales dan juara dunia sembilan kali, Valentino Rossi, yang menguasai dua tempat teratas semalam. – Bernama