Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    MotoGP Malaysia 2025 tarik lebih 195,000 pengunjung

    KUALA LUMPUR, 27 OKT – Kejohanan Grand Prix (GP) Malaysia 2025 yang berakhir semalam mencatatkan jumlah pengunjung sebanyak 195,000 orang sepanjang perlumbaan pada hujung minggu itu.

    Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Azhan Shafriman Hanif berkata jumlah itu tetap menunjukkan peningkatan berbanding tahun lepas, meskipun penganjuran kali ini bertembung dengan Sidang Kemuncak ASEAN yang berlangsung serentak.

    “Walaupun kita tidak mencapai sasaran 200,000 orang, Alhamdulillah sambutan tetap menggalakkan. Ramai yang hadir walaupun terdapat penutupan jalan susulan Sidang Kemuncak ASEAN. Apa yang kami lihat, tempat duduk di grandstand penuh dengan penonton yang datang memberi sokongan kepada semua pelumba dalam kejohanan ini,” katanya ketika ditemui.

    Beliau berkata peningkatan tersebut sekali gus menyumbang kepada jumlah kutipan jualan tiket yang cukup memberangsangkan.

    “Alhamdulillah, tahun ini jumlah jualan tiket meningkat berbanding tahun lepas namun masih ada ruang penambahbaikan terutama dari segi strategi jualan tiket untuk tahun depan. Promosi ‘beli satu percuma satu’ turut diperkenalkan sejak hari pertama, dan walaupun jumlah kutipan keseluruhan belum diterima, trend semasa menunjukkan peningkatan positif berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

    Mengulas pertembungan dengan Sidang Kemuncak ASEAN, Azhan Shafriman mengakui pada awalnya bimbang dengan penutupan dan lencongan trafik namun keadaan sebenar menunjukkan peningkatan pengunjung hasil kerjasama pihak berkuasa.

    “Ramai penonton datang lebih awal bagi mengelak kesesakan jalan dan lencongan. Walaupun kesesakan masih berlaku, ia sememangnya sesuatu yang sukar dielakkan setiap tahun.

    “Untuk tahun hadapan, kita akan merancang dengan lebih baik dari segi aliran trafik masuk ke litar. Diharapkan para pengunjung yang datang awal dapat menikmati perlumbaan tanpa tekanan akibat kesesakan,” katanya.

    Tambah beliau, fasiliti sedia ada di SIC termasuk kemudahan tandas juga akan ditambah baik bagi meningkatkan keselesaan pengunjung pada musim hadapan.

    Perlumbaan tersebut dimenangi Alex Marquez yang merangkul kejuaraan ketiganya musim ini. – Bernama

    Orang ramai hadir menyaksikan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) Malaysia 2025 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kelmarin. – Bernama
    Aksi pelumba BK8 Gresini Racing MotoGP, Alex Marquez ketika sesi latihan kelas MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kelmarin. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda