BATU PAHAT – Hasrat Wahyu Hidayat Japar untuk menjual motosikal peninggalan adik iparnya Allahyarham Muhammad Ridzuan Abd Kadir terbantut apabila dia teringat pesanan terakhir arwah agar motosikal itu dijaga dengan baik.
Dia berubah fikiran meskipun motosikal jenis Yamaha 135LC itu juga yang meragut nyawa Muhammad Ridzuan dalam nahas jalan raya pada 2015, ketika baru berusia 24 tahun.
“Saya dan arwah memang rapat. Walaupun dia hanya adik ipar, hubungan kami seperti adik-beradik kandung. Kami berkongsi minat, terutama bab motosikal,” katanya ketika ditemui Bernama semasa Himpunan Bermotor Tongkang Pechah Bikeshow 2025 di Taman Bistari, baru-baru ini.
Wahyu, 43, yang juga pengasas Pertubuhan Unit Amal Van Jenazah Muafakat Batu Pahat @Skuad Muafakat 4 All berkata, isterinya Rozieana Abd Kadir turut menyokong keputusannya untuk terus menyimpan motosikal arwah.
“Saya baiki dan hias motosikal itu supaya sentiasa nampak baharu dan elok,” katanya.

Wahyu berkata, pada awalnya dia tidak pernah terfikir untuk menyertai pertandingan motoshow kerana tujuannya hanya untuk menjaga motosikal arwah agar kelihatan cantik dan boleh digunakan sekeluarga.
Namun, selepas menukar cover set baharu berlogo Petronas tahun lalu, hasil kerjasama dan sokongan pengurusan Stesen Minyak Petronas Tongkang Pechah, motosikal itu tampil lebih eksklusif dan menarik perhatian ramai.
“Selepas tukar cover set baharu, saya cuba masuk pertandingan dan tak sangka boleh jadi juara. Sejak itu, motosikal LC ini membawa tuah kepada saya.
“Sekarang ramai peminat motosikal datang ambil gambar, malah ada yang minta pandangan saya untuk ubah suai motosikal mereka,” katanya turut berkongsi telah memenangi lebih 10 pertandingan pertunjukan motosikal setakat ini.
“Kalau arwah masih ada, tentu dia bangga tengok hasil usaha ini,” tambahnya yang mendedahkan sudah membelanjakan lebih RM4,000 untuk ubah suai motosikal itu, selain turut mengasaskan kumpulan Petronas Santai Moto Tongkang Pechah, dianggotai oleh lebih 20 pemilik motosikal Yamaha pelbagai model di kawasan itu. – Bernama
