PHNOM PENH, 30 SEPT – MCLS Synergy Co. Ltd, sebuah syarikat milik Malaysia di Kemboja berhasrat untuk mengembangkan penguasaan dalam sistem pengangkutan mesra alam yang semakin popular di negara itu melalui jenama motosikal elektriknya, Thada.
Memandangkan ibu kota Kemboja mula menerima matlamat mesra alam, permintaan untuk pengangkutan hijau perlahan-lahan mula meningkat, sekali gus mengubah dinamik pasaran kenderaan elektrik (EV).
Motorsikal Thada yang direka di Malaysia bersifat licik serta mudah ditunggang, ia menggunakan komponen yang dikeluarkan di China dan dipasang di Phnom Penh, memasuki pasaran pada 2018 untuk bersaing dalam segmen yang agak baharu, mengambil kesempatan daripada dasar Kemboja bagi mempromosikan kenderaan pelepasan karbon rendah yang mampu mengurangkan pencemaran.
Walaupun pasaran EV masih dalam peringkat awal, MCLS telah menjual kira-kira 400 unit di pasaran domestik sejak dilancarkan, walaupun bersaing dengan sekitar 10 pemain EV lain.
Pengarah Urusan MCLS, Syaiful Hazreen Hasan Nodin memberitahu Bernama bahawa motosikal konvensional masih menguasai pasaran motosikal manakala sektor EV masih belum diterokai.
“Terdapat potensi besar dalam pasaran Kemboja; ia mempunyai populasi yang muda selain semakin meningkat, dan bagi kebanyakan pelajar serta orang dewasa, motosikal adalah mod pengangkutan utama berikutan harga bahan api yang agak mahal di Kemboja.
“Tetapi kekurangan kesedaran menyumbang kepada pertumbuhan perlahan pasaran dan terdapat juga ramai pemain,” kata Syaiful.
Kira-kira tiga juta orang mendiami Phnom Penh, negara tersebut mendaftarkan lebih lima juta motosikal.
Menurut Kementerian Kerja Raya dan Pengangkutan, terdapat 914 skuter elektrik berdaftar dan 18 stesen pengecas EV setakat Jun 2024 di seluruh Kemboja. – Bernama