Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 NOV – Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) hari ini di Bilik Senat, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).
MoU tersebut telah ditandatangani oleh Rektor UNISSA, Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, dan Pengarah Urusan BDCB, Hajah Rokiah binti Haji Badar.
MoU itu menandakan permulaan hubungan rasmi antara BDCB dan UNISSA, yang menumpukan kepada kerjasama dan memanfaatkan pengetahuan dan kepakaran masing-masing.
Selain itu, ianya menetapkan rangka kerja untuk memupuk kerjasama erat, terutamanya dalam bidang kewangan Islam, di mana kedua-dua pihak bersetuju untuk berkolaborasi dalam beberapa bidang.
Antaranya termasuk penyelidikan, penganjuran acara, penerbitan bahan-bahan penyelidikan, pembangunan kapasiti, pertukaran maklumat dan data, serta inisiatif-inisiatif lain yang boleh memanfaatkan kedua-dua pihak.