Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 APRIL – Dengan azam serta tekad untuk membantu dan menyantuni Rakan Seliaan (RS), persatuan Aftercare Support Association (AFSA) memeterai kerjasama melalui Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat 247 Studios yang berlangsung di Ibu Pejabat AFSA, hari ini.
Menerusi perjanjian memorandum persefahaman berkenaan, ia akan dapat memberikan peluang pekerjaan, mengasah kreativiti dalam sketsa drama serta sekali gus dapat mengutip dana dalam apa jua aktiviti dan program yang akan dilaksanakan.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyaksikan penandatanganan perjanjian berkenaan ialah Pengarah Biro Kawalan Narkotik, Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Mohd Zalani bin Haji Ismail.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Yang Dipertua AFSA, Hajah Juhana binti Haji Muhd Jaya; Setiausaha AFSA, Haji Mahali bin Haji Hassan, ahli-ahli AFSA dan pegawai-pegawai dari 247 Studios.
Pada majlis berkenaan, menandatangani bagi pihak AFSA ialah Tinbalan Yang Dipertua AFSA, Haji Mustapa bin Haji Masri dan mewakili 247 Studios ialah Pengurus Projek 247 Studios, Dayangku Aliyah Nur Bazilah binti Pengiran Haji Aliuddin.
Haji Mahali ketika mengulas mengenai MoU berkenaan, menyifatkannya sebagai pengiktirafan dan sokongan padu dari 247 Studios dalam usaha AFSA membantu dan menyantuni Rakan Seliaan (RS) supaya mereka dapat menjadi insan yang berfikiran positif serta menyumbang sesuatu kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara.