Friday, May 2, 2025
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    MoU jalin kerjasama pendidikan, latihan vokasional

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MEI – Delegasi dari Pusat Serantau Pertubuhan Menteri-menteri Pendidikan Asia Tenggara bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (SEAMEO VOCTECH), telah menghadiri Simposium Antarabangsa mengenai Kerjasama Pendidikan Vokasional bertemakan Pendidikan Mengikuti Industri: Perkongsian Sekolah-Perusahaan yang berlangsung baru-baru ini di Bandaraya Haikou, Wilayah Hainan, Republik Rakyat China.

    Simposium itu disertai pihak berkepentingan dari negara-negara ASEAN termasuk Laos, Malaysia, Brunei Darussalam, Kemboja, Vietnam dan Thailand, serta institusi dan pihak berkuasa pendidikan dari China.

    Hampir 300 wakil dari kolej, perusahaan dan institusi dari China dan Asia Tenggara telah hadir bagi membincangkan hala tuju baharu dalam kerjasama pendidikan vokasional serta integrasi industri.

    Sepanjang simposium, satu memorandum persefahaman (MoU) telah dimeterai antara SEAMEO VOCTECH dan Persidangan Bersama Presiden-presiden Institusi Pendidikan Tinggi Vokasional Kebangsaan (JCP), sebagai landasan kerjasama dan pertukaran dalam bidang pendidikan dan latihan vokasional, termasuk program pendidikan bersama antara China dan Asia Tenggara Bahasa + Kemahiran Vokasional serta Konsortium Jalur dan Laluan Berasaskan Industri Vokasional yang baru dilancarkan di simposium.

    Konsortium yang terdiri daripada 131 ahli kumpulan awal, termasuk institusi pendidikan dari dalam dan luar negara, perusahaan dan organisasi itu bertujuan menyepadukan program pendidikan vokasional dengan keperluan industri, membina rangkaian kerjasama pendidikan vokasional serantau, mempromosi standard pendidikan vokasional dan mengiktiraf sistem pensijilan teknikal antarabangsa serta melatih tenaga kerja mahir tempatan untuk perusahaan luar negara.

    Pengarah Pusat SEAMEO VOCTECH Brunei Darussalam, Haji Norjemee bin Jenek turut menyampaikan ucapan bersama para akademik dan wakil institusi pendidikan lain, yang mengongsikan pengalaman dan perspektif masing-masing.

    Sementara itu, wakil perusahaan dari Kumpulan Haier dan Best Logistics berkongsi pandangan mengenai permintaan tenaga kerja dan kerjasama teknikal di luar negara.

    SEAMEO VOCTECH akan terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh integrasi pendidikan dan industri serantau melalui pembangunan profesional, pe-ningkatan kapasiti, penyelidikan, penyebaran maklumat dan khidmat nasihat ke arah kemajuan sosioekonomi yang inklusif di rantau Asia Tenggara.

    Delegasi SEAMEO VOCTECH menghadiri Simposium Antarabangsa di Bandaraya Haikou, Wilayah Hainan, Republik Rakyat China, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN SEAMEO VOCTECH
    GAMBAR SERAHAN SEAMEO VOCTECH
    GAMBAR SERAHAN SEAMEO VOCTECH

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda