Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Dalam usaha untuk meningkatkan kerjasama dua hala, Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Antara Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kerajaan Republik Singapura bagi Kerjasama Dua Hala dalam Persekitaran Binaan yang Mampan dan Boleh Didiami berlangsung di Jerudong, hari ini.
Menandatangani bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, manakala kerajaan Republik Singapura diwakili oleh Menteri Pembangunan Nasional Singapura, Tuan Yang Terutama Chee Hong Tat.
Terdahulu, Yang Berhormat Dato dalam ucapan alu-aluannya menyatakan MoU itu dilihat sebagai satu platform yang bernilai bagi kerjasama praktikal yang membolehkan perkongsian pengetahuan serta menggalakkan kerjasama dan pembelajaran dalam pelbagai bidang seperti bangunan hijau, produktiviti dan kualiti pembinaan, pengurusan kemudahan, perancangan dan pembangunan bandar, inovasi teknologi serta reka bentuk dan kebolehcapaian sejagat.
Turut hadir semasa majlis penan-datanganan itu ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, timbalan-timbalan setiausaha tetap Kementerian Pembangunan serta pegawai-pegawai kanan, para pegawai dan kakitangan daripada kedua-dua pihak.



