Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JULAI – Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) menumpukan kerjasama dalam sektor pertanian dan agrimakanan dalam usaha memajukan kemapanan dan sara diri Negara Brunei Darussalam.
Ia juga dihasratkan dapat mengongsikan kepakaran dan sumber serta bersama menyokong matlamat Wawasan Brunei 2035.
Perkara itu dinyatakan oleh Penolong Naib Canselor (Penyelidikan) UTB, Profesor Dr Mohamed Hasnain Isa dalam kata alu-aluannya pada majlis penandatanganan MoU di antara UTB dan IBTE, yang berlangsung di Dewan Kuliah 2, Kompleks Perpustakaan, UTB, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyaksikan penandatanganan MoU itu ialah Naib Canselor UTB, Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.
Profesor Dr Mohamed Hasnain Isa berkata, beliau percaya lebih banyak projek akan dilaksanakan dalam masa terdekat menerusi kerjasama itu.

Beliau turut mendedahkan bahawa kedua-dua institusi sudah pun memulakan beberapa kajian awal dan berharap kerjasama itu akan membuahkan hasil yang bermanfaat untuk semua pihak.
Majlis diteruskan dengan penan-datanganan MoU antara Profesor Dr Mohamed Hasnain Isa yang mewakili UTB dan Ketua Pegawai Eksekutif IBTE, Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli mewakili IBTE sambil disaksikan oleh oleh Profesor Dr Hajah Zohrah.
Di bawah MoU berkenaan, UTB dan IBTE akan bekerjasama untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan di negara ini khususnya dalam bidang agrimakanan dan pertanian.
Penandatanganan berkenaan dihasratkan untuk mengembangkan kolaborasi penyelidikan saintifik aplikasi dan tulen, dalam teknologi pertanian, perladangan dan agrimakanan.
Matlamat utama kolaborasi adalah untuk mempertingkatkan produktiviti agrimakanan khususnya pengeluaran padi dan seterusnya menjana transformasi dalam sektor agrimakanan negara supaya menjadi sektor yang moden, dinamik dan kompetitif.
MoU akan menyaksikan projek penyelidikan khas jangka pendek, kursus-kursus latihan, penyelidikan ladang jangka panjang, penempatan kerja bagi pelajar-pelajar sarjana dan sarjana muda serta guna sama dalam penggunaan peralatan serta perkakas makmal dan ladang.
Di samping itu, Teras Penyelidikan dan Pusat Penyelidikan UTB telah pun memulakan beberapa projek mengenai pertanian moden yang dijalankan di tapak projek AgroBiz tanaman padi LiveWIRE di IBTE Kampus Agro Terknologi, Wasan.