Thursday, December 26, 2024
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    MoU majukan sektor pertanian negara

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 DIS – Bagi memperdalamkan lagi kerjasama pertanian yang kukuh antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China, satu majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Brunei, dan Kementerian Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar (MARA), China, mengenai kerjasama pertanian telah berlangsung hari ini di Beijing, Republik Rakyat China.

    Menandatangani MoU bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, manakala pihak Republik Rakyat China diwakili oleh Menteri MARA, Tuan Yang Terutama Han Jun.

    Republik Rakyat China terus memberikan sokongan dan bekerjasama rapat dalam memajukan dan membangunkan industri pertanian negara, dengan menyediakan pelbagai latihan dan program pembangunan kapasiti termasuk dalam bidang penyelidikan dan pembangunan merangkumi sektor beras, tanaman dan ternakan.

    Sebelum penandatanganan, kedua-dua menteri mengadakan mesyuarat dua hala untuk bertukar pandangan mengenai kemajuan dan potensi perkembangan dalam kerjasama sektor makanan.

    Mereka menegaskan semula komitmen untuk meningkatkan kerjasama dalam keselamatan makanan, termasuk sektor pertanian dan perikanan, seperti yang dipersetujui semasa pertemuan pemimpin antara Baginda Sultan dan Presiden Xi Jinping di San Francisco pada tahun 2023.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf dan TYT Han Jun semasa menandatangani MoU di Beijing. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf dan TYT Han Jun bergambar ramai semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Penandatanganan MoU bertujuan untuk meningkatkan pengeluaran sektor utama dan selaras dengan objektif negara dalam meningkatkan keselamatan makanan, khususnya dalam menangani jurang dalam rantaian nilai industri beras, termasuk melalui penggunaan varieti padi yang menghasilkan hasil tinggi.

    Pelaksanaan projek kerjasama dan sokongan yang kukuh daripada China akan membolehkan Brunei mencapai pencapaian penting termasuk kemungkinan kerjasama dengan agensi dan sektor swasta yang berkaitan dari Republik Rakyat China untuk penubuhan Pusat Penyelidikan Padi Kebangsaan.

    Projek berpotensi di bawah MoU itu juga akan memberikan tumpuan kepada peningkatan kepakaran teknikal bagi mengukuhkan pengeluaran benih padi hibrid, sebagai strategi tambahan untuk menguatkan rantaian nilai padi di Negara Brunei Darussalam.

    Kerjasama itu menekankan peranan penting kerajaan Republik Rakyat China, terutamanya dalam menyediakan sumber dan sokongan penting, termasuk bekalan benih padi hibrid, penglibatan teknikal dan pakar, penyediaan kemudahan dan peralatan.

    Sumbangan sebegini menunjukkan komitmen Republik Rakyat China untuk memperkukuh perkongsian dengan Negara Brunei Darussalam dan memajukan matlamat bersama untuk mempertingkatkan industri pertanian negara.

    Turut hadir pada majlis pe-nandatanganan adalah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Rakyat China, TYT Pehin Dato Haji Abdu’r Rahmani bin Dato Haji Basir; Setiausaha Tetap KSSUP, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab, dan pegawai-pegawai dari Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, KSSUP.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda