BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JUN – Bersempena pelancaran Persidangan Hutan ke Terumbu Karang, dua memorandum persefahaman (MoU) telah dimeterai secara berasingan antara Poni Divers dan Universiti Brunei Darussalam (UBD) serta Kumpulan Poni, UBD dan Jejakin dari Indonesia pada majlis yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Perasmian Persidangan Hutan ke Terumbu Karang anjuran Jabatan Perikanan dan Jabatan Perhutanan di bawah Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, dengan kerjasama UBD dan Kumpulan Poni itu disempurnakan Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin. Acara tersebut menghimpunkan stakeholder utama merentasi pemuliharaan daratan dan marin untuk berkongsi amalan terbaik, memupuk penyelarasan antara agensi serta mengukuhkan usaha perlindungan ekosistem nasional dan serantau.
Memorandum tersebut ditandatangani oleh Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle; Pengarah Kumpulan Poni, Awang Mohammad Tahsin Wong Abdullah; dan Ketua Pegawai Kemajuan Jejakin, Sudono Salim sambil disaksikan Penolong Naib Canselor UBD (Penglibatan Industri dan Pembangunan Perusahaan), Dr Haji Masairol bin Haji Masri; Ketua Pegawai Perniagaan, Kumpulan Poni, Anna Aziz; dan Ketua Pakar Penyelidikan dan Produk, Jejakin, Antonio Umbu.
Penandatanganan MoU antara Poni Divers dan UBD sekali gus merasmikan peranan universiti sebagai Rakan Pendidikan untuk Minggu Lautan Brunei (OWB) 2025.
Melalui kerjasama itu, UBD akan menyokong program utama di bawah OWB 2025, termasuk Persidangan Kelestarian Lautan di Teater Kuliah, The Core UBD pada 16 Jun dan Forum Belia Future Ocean Changemakers di Pusat Seni Pro Canselor, UBD, pada 24 dan 25 Jun.
Pelajar UBD akan mengambil bahagian secara aktif dalam inisiatif tersebut bersama delegasi belia serantau, termasuk peserta dari Kem Musim Panas Rangkaian Universiti ASEAN (AUN) UBD, justeru mengukuhkan lagi penglibatan belia dalam kelestarian marin dan kepimpinan alam sekitar di seluruh ASEAN.
Manakala penandatanganan MoU kedua antara UBD, Kumpulan Poni dan Jejakin merupakan perjanjian tiga pihak bertujuan untuk memupuk kerjasama akademik dan alam sekitar yang mampan.






