Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 APRIL – Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Curtin University Malaysia hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk memperdalam kerjasama akademik dan penyelidikan antara kedua-dua institusi.
Majlis penandatanganan yang berlangsung di UBD menandakan satu pencapaian penting dalam memupuk kerjasama pendidikan dan penyelidikan merentas sempadan di rantau ini.
Hadir menandatangani bagi pihak UBD ialah Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle manakala pihak Curtain Universiti Malaysia diwakili Pro Naib Canselor dan CEO Curtain Unversiti Malaysia, Profesor Dr Vincent Lee Chieng Chen.
Dr Hazri dalam ucapan menyatakan beliau berbesar hati terhadap kerjasama ini, yang mencerminkan komitmen bersama terhadap kecemerlangan akademik, inovasi dan impak serantau. Dengan Curtin sebagai salah satu jiran terdekat, UBD melihat potensi besar dalam kerjasama untuk memperkasa pelajar dan penyelidik kami, serta mencipta penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat kami dan rantau yang lebih luas.
Sementara itu, Profesor Dr Vincent Lee Chieng Chen menekankan kepentingan kerjasama tersebut, mengatakan ia merupakan suatu penghormatan untuk memformalkan kerjasama berkenaan dengan UBD.
“MoU ini lebih daripada sekadar satu perjanjian – ia adalah visi bersama untuk kemajuan. Menerusi kerjasama, kami akan mencipta peluang transformatif untuk pelajar, fakulti dan penyelidik, membentuk masa depan pendidikan dan inovasi di rantau ini,” kata beliau.
Kerjasama itu adalah selaras dengan komitmen kedua-dua institusi untuk memajukan kecemerlangan pendidikan tinggi dan penyelidikan, memupuk penglibatan serantau dan global, serta menyumbang kepada pembangunan mampan Borneo dan Asia Tenggara.
Dengan perjanjian itu, UBD dan Curtin University Malaysia berharap dapat menjalinkan kerjasama yang dinamik dan berkekalan yang akan memberi manfaat kepada komuniti akademik masing-masing dan rantau yang lebih luas.
Kerjasama strategik itu juga menandakan langkah ke arah memajukan pendidikan tinggi, penyelidikan dan latihan. Dengan menggabungkan kecemerlangan akademik UBD dan kelestarian bersama inovasi yang dipacu industri dan kepakaran penyelidikan Curtin Malaysia, kolaborasi ini akan membuka pintu kepada pertukaran pelajar dan fakulti, projek penyelidikan bersama, serta perkongsian ilmu. Bersama-sama, kedua-dua institusi akan memacu inovasi, menangani cabaran global dan mencipta peluang pembelajaran yang bernilai.
Turut hadir untuk menyaksikan majlis tersebut ialah Penolong Naib Canselor (Penyelidikan, Inovasi dan Kelestarian) UBD, Dr Haji Abdul Hanif bin Dato Paduka Haji Mahadi dan Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Sains, Curtin University Malaysia, Profesor Dr Tuong-Thuy Vu.
