Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Dynamik Technologies dan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) baru-baru ini telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) sebagai sebahagian daripada usaha bersama berterusan untuk meningkatkan pembangunan tenaga kerja digital di Borneo.
Penandatanganan MoU tersebut, diadakan semasa Majlis Konvokesyen ke-9 CENTEXS, menandakan langkah penting dalam melengkapkan tenaga kerja di rantau ini dengan kemahiran digital yang industry-ready.
Penandatanganan MoU telah disaksikan oleh Premier Sarawak, Tuan Yang Terutama Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg dan Pengerusi CENTEXS, Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi bin Abdul Ghani.
Perkongsian itu dirasmikan melalui pertukaran MoU dengan Ketua Pegawai Eksekutif yang mewakili CENTEXS, Dato Haji Syeed Mohd Hussien bin Wan Abdul Rahman, dan Ketua Perkhidmatan Korporat, Hajah Siti Rozana binti Dato Paduka Haji Mohd Yunos, yang mewakili Dynamik Technologies.
Turut hadir, Konsulat Agung Brunei Darussalam, Sheikh Abdul Mahdani bin Dato Paduka Sheikh Haji Abdul Gani dan Ketua Pembangunan Perniagaan Dynamik Technologies, Albert Hwong.
Kerjasama tersebut akan memberi tumpuan kepada pembangunan bersama bakat dan industri yang diperakui di Borneo untuk penempatan dalam peluang ekonomi digital di rantau, pembangunan keupayaan bersama untuk profesional dalam kemahiran digital dan memperkukuh rangkaian perniagaan di seluruh rantau itu.
Selain itu, MoU berkenaan juga mewujudkan rangka kerja untuk kerjasama seterusnya dalam bidang yang menyokong kesediaan tenaga kerja dan keperluan industri.
Selaras dengan peranannya sebagai rakan kongsi pelaksanaan utama Komuniti Ekonomi Borneo, Dynamik terus memberi tumpuan kepada pembangunan bakat teknologi rantau ini dalam bidang seperti automasi digital, analisis data dan kecerdasan buatan (AI) untuk kepentingan Borneo melalui platform KARYADI.
Dengan memanfaatkan kepakaran dan sumber, inisiatif itu bertujuan menyumbang kepada bakat digital yang mampan, memperkukuhkan peranan Borneo sekali gus membuka potensi Borneo di rantau ekonomi digital.
