Khamis, November 20, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    MoU perluas kerjasama

    BUDAPEST, HUNGARY, 19 NOV – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berangkat memulakan Keberangkatan Negara ke Hungary dengan menghadiri Majlis Sambutan Kenegaraan; Upacara Meletakkan Kalungan Bunga; Perjumpaan Tête-À-Tête bersama Presiden Hungary, Tuan Yang Terutama Dr Tamás Sulyok; Mesyuarat Dua Hala bersama Tuan Yang Terutama Presiden Hungary; Majlis Penganugerahan Bintang Kebesaran Hungary The Grand Cross of the Hungarian Order of Merit with Chain and Gold Star; dan Majlis Working Luncheon bersama Perdana Menteri Hungary, Tuan Yang Terutama Viktor Orbán.

    Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    MAJLIS SAMBUTAN KENEGARAAN

    Majlis Sambutan Kenegaraan bagi Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah berlangsung di Kossuth Lajos Square, Budapest, di mana keberangkatan Baginda dialu-alukan oleh Tuan Yang Terutama Presiden Hungary.

    Semasa majlis tersebut, Baginda Sultan bersama-sama Tuan Yang Terutama Presiden Hungary memeriksa Barisan Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada anggota Hungarian Armed Forces. Lagu kebangsaan kedua-dua buah negara kemudiannya dimainkan.

    Baginda turut disembah kenalkan kepada rombongan Hungary, manakala Tuan Yang Terutama Presiden Hungary diperkenalkan kepada para delegasi Negara Brunei Darussalam.

    Baginda Sultan bergambar bersama Perdana Menteri Hungary selepas Majlis Working Luncheon. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menghadiri mesyuarat dua hala. Berangkat mengiringi Baginda ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menghadiri Majlis Santap Malam Gala, baru-baru ini. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Baginda Sultan berkenan meletakkan kalungan bunga di Heroes’s Square. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Baginda Sultan berkenan mengadakan perjumpaan Tete-A-Tete yang berlangsung di Sandor Palace. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    GAMBAR OLEH INFOFOTO

    UPACARA MELETAKKAN KALUNGAN BUNGA

    Semasa Upacara Meletakkan Kalungan Bunga yang berlangsung di Heroes’ Square, Budapest, keberangkatan Baginda Sultan telah dijunjung oleh Kapten Unit Garison, György Szuhár.

    Heroes’ Square (Hősök tere) merupakan salah satu mercu tanda utama di Budapest. Ia menempatkan salah satu simbol ikonik bandar, iaitu Tugu Peringatan Milenium, yang merangkumi tujuh ketua suku kaum Magyar yang mengasaskan Hungary dan ketua-ketua negara penting yang lain dalam sejarah Hungary.

    MAJLIS PERJUMPAAN TÊTE-À-TÊTE BERSAMA TUAN YANG TERUTAMA DR. TAMÁS SULYOK, PRESIDEN HUNGARY

    Pada Perjumpaan Tête-À-Tête yang berlangsung di Sándor Palace, Baginda Sultan bertitah menzahirkan ucapan penghargaan kepada Tuan Yang Terutama atas undangan Keberangkatan Negara ke Hungary serta sambutan mesra dan layanan sangat baik dan menyatakan dengan keyakinan bahawa lawatan ini akan memperkukuh lagi hubungan dan kerjasama dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Hungary.

    Pada kesempatan itu, Baginda Sultan juga menzahirkan rasa penghargaan atas penganugerahan Bintang Kebesaran Hungary The Grand Cross of The Hungarian Order of Merit with Chain and Gold Star dan seterusnya mengundang Tuan Yang Terutama Presiden Hungary untuk mengadakan Lawatan Negara ke Negara Brunei Darussalam.

    MESYUARAT DUA HALA

    Baginda Sultan kemudian berangkat menghadiri Mesyuarat Dua Hala yang diadakan di Maria Theresa Salon, Sándor Palace, di mana Baginda Sultan bertitah bahawa Negara Brunei Darussalam dan Hungary telah menikmati hubungan yang mesra dan bersahabat sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada tahun 1992. Hubungan tersebut diperkukuhkan melalui peningkatan interaksi, khususnya menerusi pertukaran rakyat-ke-rakyat serta kerjasama dalam rangka ASEAN–EU.

    Baginda berharap agar interaksi aktif antara kedua-dua menteri luar negeri akan terus menyumbang kepada momentum positif hubungan dua hala dengan membuka ruang baharu untuk memperluaskan kerjasama.

    Semasa mesyuarat dua hala ini, Baginda Sultan merakamkan rasa berpuas hati atas penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) Mengenai Penubuhan Perundingan Dua Hala sebagai satu detik penting dalam mengukuhkan lagi dialog, persefahaman dan kerjasama institusi antara kedua-dua buah negara terutama membuka peluang-peluang dalam bidang pelaburan, pendidikan, tenaga dan pembangunan kapasiti, dalam mendukung usaha-usaha mempelbagaikan ekonomi Negara Brunei Darussalam di luar sektor minyak dan gas.

    Baginda juga bertitah melahirkan penghargaan kepada kerajaan Hungary atas penganugerahan biasiswa kepada kumpulan pertama pelajar Negara Brunei Darussalam yang kini berada di Hungary bagi pengajian mereka dan seterusnya mengalu-alukan para pelajar Hungary untuk melanjutkan pengajian mereka di Negara Brunei Darussalam.

    Dalam memperluaskan kerjasama dalam bidang pelancongan, Baginda Sultan menyambut baik kemudahan pengaturan pengecualian visa dan berharap agar pertukaran budaya, belia dan profesional dapat terus diperkukuhkan demi mera-patkan hubungan rakyat kedua-dua negara.

    Semasa mesyuarat dua hala ini juga, kedua-dua pemimpin turut bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai berkepentingan bersama, termasuk perkembangan ASEAN, hubungan dialog ASEAN–EU dan penglibatan Hungary serta kemasukan bersejarah Timor-Leste sebagai negara anggota ASEAN ke-11. Baginda mengalu-alukan penyertaan Hungary pada Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN–EU ke-25 yang akan dihoskan oleh Negara Brunei Darussalam selaku negara penyelaras pada bulan April 2026.

    Manakala mengenai perubahan iklim, tegas Baginda bahawa ia memerlukan usaha bersama yang berterusan. Dengan penubuhan Pusat Perubahan Iklim ASEAN di Negara Brunei Darussalam, pusat tersebut akan menjadi inisiatif serantau untuk menangani isu-isu alam sekitar.

    Sehubungan itu, Baginda me-ngalu-alukan sokongan Hungary dalam aspek penyelidikan, perkongsian data dan pembangunan kapasiti berkaitan kemampanan. Akhirnya Baginda turut berkenan menyampaikan undangan kepada Tuan Yang Terutama untuk mengadakan Lawatan Negara ke Negara Brunei Darussalam pada masa yang akan dipersetujui bersama.

    Sempena Keberangkatan Negara Baginda Sultan ke Hungary, MoU mengenai Penubuhan Perundingan Dua Hala telah ditandatangani kelmarin antara kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dengan kerajaan Hungary.

    Menandatangani bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof, manakala kerajaan Hungary diwakili oleh Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Tuan Yang Terutama Péter Szijjártó.

    MoU tersebut bertujuan untuk melembangkan rundingan dua hala serta mengadakan pertukaran pandangan mengenai isu-isu berkepentingan bersama bagi memperkukuh kerjasama dua hala dalam mencapai matlamat bersama.

    Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Liew bin Abdullah, dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.

    MAJLIS PENGANUGERAHAN BINTANG KEBESARAN HUNGARY THE GRAND CROSS OF THEHUNGARIAN ORDER OF MERIT WITH CHAIN AND GOLD STAR

    TYT Presiden Hungary menganugerahkan Bintang Kebesaran Hungary The Grand Cross of The Hungarian Order of Merit with Chain and Gold Star kehadapan Majlis Baginda Sultan, yang mana anugerah tersebut, antara lainnya sebagai satu pengiktirafan dan simbol komitmen Hungary untuk terus bekerjasama dengan Negara Brunei Darussalam dalam memelihara kesejahteraan rakyat kedua-dua buah negara.

    Anugerah tersebut merupakan penghormatan tertinggi dari Hungary yang telah diwujudkan sejak negara berkenaan mencapai kemerdekaan.

    MAJLIS WORKING LUNCHEON BERSAMA TUAN YANG TERUTAMA PERDANA MENTERI HUNGARY

    Baginda Sultan berangkat ke Karmelita Monastery bagi menghadiri Majlis Working Luncheon yang dihoskan oleh Perdana Menteri Hungary, TYT Viktor Orbán . Semasa Majlis Working Luncheon ini, kedua-dua pemimpin turut bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa, termasuk perkembangan ASEAN, hubungan ASEAN–EU, penglibatan Hungary di Asia Tenggara, perkembangan di Eropah dan Timur Tengah serta kerjasama dalam menangani perubahan iklim dan menggalakkan keamanan, kestabilan dan pertumbuhan mampan.

    Baginda bertitah mengenai ketersediaan Brunei untuk bekerjasama rapat dengan Hungary dalam memperkukuhkan kerjasama dalam menyokong kestabilan serantau dan hubungan antara rantau.

    Baginda turut berkenan menyampaikan undangan kepada TYT Viktor Orbán untuk mengadakan Lawatan Rasmi ke Negara Brunei Darussalam pada masa yang akan dipersetujui bersama.

    Semasa Majlis Santap tersebut, Baginda turut disembah kenalkan kepada rombongan Hungary, manakala TYT Presiden Hungary diperkenalkan kepada ahli-ahli delegasi Negara Brunei Darussalam. Majlis Santap diserikan dengan persembahan muzik tradisi Hungary.

    Sebelum berangkat dari Karmelita Monastery, Baginda Sultan disembahkan dengan ucapan selamat berangkat daripada TYT Perdana Menteri Hungary.

    MAJLIS SANTAP MALAM GALA

    Semalam, Baginda Sultan berkenan berangkat menghadiri Majlis Santap Malam Gala bersempena dengan Keberangkatan Negara yang dihoskan oleh TYT Presiden Sulyok.

    Majlis tersebut diadakan di Museum of Fine Arts di Budapest, Hungary iaitu sebuah institusi seni tersohor yang menempatkan koleksi seni klasik dan moden dari seluruh Eropah.

    Keberangkatan tiba Baginda Sultan dialu-alukan oleh TYT Presiden Hungary, di mana Baginda seterusnya disembah kenalkan kepada jemputan-jemputan khas.

    Majlis tersebut diserikan dengan beberapa persembahan kebudayaan yang menampilkan keunikan warisan seni Hungary.

    Berangkat mengiringi Baginda Sultan ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda