Monday, October 7, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    MoU Pesta Pengguna ke-20

    Oleh Yusrin Junaidi

    Gambar oleh Rahwani Zahari

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jan – Pesta Pengguna yang ditunggu-tunggu kini kembali dengan edisi ke-20 anjuran Syarikat D’Sunlit Sdn Bhd yang akan bermula pada 24 hingga 28 Januari 2018 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

    Sehubungan itu, satu majlis penandatangan memorandum persefahaman (MoU) antara 17 buah syarikat tempatan selaku rakan kongsi dan rakan aktiviti Pesta Pengguna telah diadakan di Starbucks Brunei, Beribi.

    Hadir di majlis tersebut ialah para perwakilan rakan kongsi dan rakan aktiviti Pesta Pengguna. Penandatanganan MoU disempurnakan oleh Penasihat Syarikat D’Sunlit Sdn Bhd, Pengiran Salleh Ab Rahaman bin Pengiran Haji Damit bagi wakil syarikat dan disaksikan oleh Pengurus Operasi, Ngu Tiing Siang.

    Majlis penandatanganan berkenaan dimulakan oleh wakil dari Brunei Press Sdn Bhd, Hazizah Osman dan Suzie Houng selaku rakan media sepanjang Pesta Pengguna tersebut.

    Majlis kemudiannya diteruskan dengan penandatanganan oleh wakil dari Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB), Bank Islam Brunei Darussalam, Telekom Brunei Berhad (TelBru), DST Sdn Bhd, Kristal FM, Starbuck Brunei, Aewon Garment dan Embroidery, Oregon System, IBIC Sdn Bhd, Ranoadidas, Arttralia, Pizza Hut Brunei dan Diary Queen Brunei, Cuckoo International (B) Sdn Bhd, Hui Huang Enterprise, AEC Sdn Bhd dan World Wildlife Fund (WWF) Malaysia.

    Pengiran Salleh Ab Rahaman ketika menandatangani MoU bersama perwakilan dari TelBru sambil disaksikan oleh Ngu Tiing Siang.
    Pengiran Salleh Ab Rahaman ketika menandatangani MoU bersama Hazizah Osman selaku rakan media sepanjang Pesta Pengguna tersebut sambil disaksikan Ngu Tiing Siang dan Suzie Houng.
    Pengiran Salleh Ab Rahaman ketika bertukar dokumen bersama perwakilan dari Starbuck Brunei.

    Menurut kenyataan D’Sunlit Sdn Bhd, Pesta Pengguna tahun ini akan menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan makan yang dianjurkan oleh Olive Tree Corporation, Hui Huang Enterprise dan banyak lagi.

    Dengan tema ‘Remembering the Past, Celebrating the Present, and Envisioning the Future, pesta tersebut juga akan dimeriahkan dengan beberapa aktiviti dan jualan menarik antaranya ialah ‘After Glow Neon Gallery’, di mana beberapa artis mural tempatan dari Arttralia akan membawakan persembahan lukisan mural sejajar dengan tema Pesta Pengguna berkenaan.

    Juga ditampilkan dalam pesta tersebut ialah permainan lama, ‘Tamagotchi’ yang akan membawa pelanggan kembali kepada kenangan masa lalu ketika kanak-kanak.

    Pesta Pengguna ini juga akan mengetengahkan ‘The Missing Endangered Campaign’, yang merupakan kerjasama antarabangsa pertama yang ditubuhkan antara WWF Malaysia dan D’Sunlit Sdn Bhd. Kempen berkenaan akan berakhir di Pesta Pengguna ke-20 itu, di mana sebanyak 2000 gajah ceramik kecil akan dipamerkan dan dijual.

    Sepanjang pesta berkenaan itu berlangsung, beberapa buah syarikat seperti Syarikat DST Group dan Starbuck Brunei juga akan menawarkan pelbagai promosi dan hadiah menarik untuk dimenangi.

    Selain itu, AEC Sdn Bhd dan Cuckoo International (B) Sdn Bhd pula akan mengadakan cabutan hadiah bertuah yang menawarkan tiket penerbangan ke Korea dan menyertai trip media ke Korea Selatan.

    Pesta Pengguna ke-20 ini juga turut mengadakan cabutan hadiah utama yang menawarkan sebuah kereta Toyota Vios dan juga peluang bagi memenangi tiket perjalanan jauh yang ditaja oleh RB.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda