Saturday, May 10, 2025
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    MoU promosi kolaborasi penyelidikan akademik

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MEI – Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Inner Mongolia Jiu Ke Kangrui Enviro Tech Co Ltd telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi memformalkan kerjasama strategik untuk mempromosikan kolaborasi dalam penyelidikan akademik, pembangunan bakat serta inovasi teknologi, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh UBD, di sini, matlamat utama MoU berkenaan ialah untuk memudahkan perbincangan bagi penubuhan bersama sebuah fasiliti ekperimentasi penyahgaraman air laut di UBD di mana teknologi dan pencapaian penyelidikan canggih Jiu Ke dapat diketengahkan, diuji dan dikembangkan lagi.

    Perjanjian itu membuka peluang bagi kolaborasi dalam pengurusan air sisa, memperkasakan komitmen kedua-dua pihak kepada penyelesaian alam sekitar mampan.

    MoU berkenaan telah dimeterai oleh Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle dan Pengerusi Inner Mongolia Jiu Ke Kangrui Enviro-Tech Co Ltd, Li Zhan Sheng yang diwakili oleh Ketua Pegawai Teknologi, Zhangna.

    Majlis berkenaan turut disaksikan oleh Penolong Naib Canselor (Penglibatan Industri dan Pembangunan Perusahaan) UBD, Dr Haji Masairol binti Haji Masri dan Presiden Persatuan Perusahaan Cina di Brunei (CEAB), Dr Li Feng.

    Antara yang hadir pada Majlis Penandatanganan antara UBD dan Inner Mongolia Jiu Ke Kangrui Enviro-Tech Co Ltd. – GAMBAR SERAHAN UBD
    Dr Hazri dan Zhangna menandatangani dokumen pada majlis penandatanganan sambil disaksikan TYT Xiao Jianguo. – GAMBAR SERAHAN UBD

    Duta Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Xiao Jianguo turut hadir pada majlis berkenaan, mengetengahkan kepentingan kerjasama berkenaan dalam mengukuhkan hubungan perindustrian dan akademik Brunei-China.

    Perjanjian berkenaan mencerminkan visi bersama bagi kerjasama berasaskan prinsip timbal balik dan saksama, menyediakan asas bagi inisiaif masa depan dalam penyelidikan, latihan perindustrian, akademik, pertukaran dan penyeliaan pelajar.

    Ia juga menandakan komitmen yang meluas kepada memupuk hubungan industri-akademik merentas sempadan yang menyokong inovasi, kemampanan dan pertumbuhan bersama.

    Dr Hazri dipetik menyatakan keterujaannya di mana kolaborasi dengan Jiu Ke membuka pintu yang menarik dalam peluang penyelidikan gunaan khususnya dalam pengurusan air sisa dan penyahgaraman air laut.

    Beliau berkata, “Ini merupakan bidang kritikal bagi Brunei dan rantau ini. Dengan menggabungkan kepakaran akademik kami dengan pengalaman industri Jiu Ke, kami berharap untuk membina sistem inovatif bagi menangani cabaran alam sekitar sambil melengkapkan graduan kami dengan kecekapan yang berkaitan dengan industri.”

    Sementara itu, Zhangna mengetengahkan kepentingan strategik kerjasama berkanan dengan menyatakan penandatangan perjanjian itu menandakan mercu tanda dalam mendalami kolaborasi merentas sempadan di antara kedua-dua belah pihak.

    “Dengan mengintegrasikan penyelidikan dan sumber pendidikan bertaraf dunia UBD dengan kejuruteraan dan kepakaran teknologi canggih Perlindungan Alam Sekitar Jiu Ke, perkongsian itu akan mewujudkan platform inovasi kolaborasi penyelidikan-akademia-industri. Inisiatif itu, tambahnya lagi, adalah sejajar dengan Inisiatif Jalur dan Laluan China dan pelan tindakan strategik Wawasan Brunei 2035.

    Kerjasama itu akan mengukuhkan lagi peranan Brunei sebagai hab bagi teknologi alam sekitar di Asia Tenggara, menyuntik momentum baharu ke dalam transformasi hijau dan rendah karbon di rantau ini.

    MoU berkenaan menandakan sebuah langkah signifikan dalam meningkatkan hubungan di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China serta mencerminkan komitmen bersama kepada menyelesaikan cabaran alam sekitar dunia sebenar melalui sains, inovasi dan pertukaran ilmu pengetahuan.

    Dengan perjanjian itu, UBD dan Inner Mongolia Jiu Ke Kangrui Enviro-Tech Co Ltd bersedia untuk melaksanakan kolaborasi yang dinamik dan berkekalan yang menjanjikan kesa jangka panjang bagi kedua-dua institusi dan rantau.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda