Jumaat, November 21, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    MoU sedia peluang akademik bagi graduan IBTE HNTec

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Dalam usaha untuk menyediakan peluang kemajuan profesional dan akademik bagi graduan Sijil Pendidikan Teknikal Tinggi Kebangsaan (HNTec), Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Kolej Antarabangsa Micronet (MIC) bagi Program Ijazah UTB-MIC dalam majlis penandatanganan MoU yang berlangsung di Bilik Latihan, Kompleks Perpustakaan, Universiti Teknologi Brunei (UTB), hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyaksikan penandatanganan MoU berkenaan ialah Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.

    Pada majlis itu, menandatangani bagi pihak IBTE ialah Pengarah Pendidikan Teknikal dan Ketua Pegawai Eksekutif IBTE, Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli manakala menandatangani bagi MIC ialah Pengarah Urusan MIC, Sylvester Yong.

    Terdahulu dalam ucapan alu-aluannya, Dr Haji Mohd Zamri berkata dengan memperkukuh mobiliti akademik serta merapatkan jurang pendidikan teknikal dan peringkat universiti, kita membantu membentuk generasi yang bukan sahaja berkemampuan dari segi akademik tetapi juga berada pada kedudukan strategik untuk memacu transformasi digital dan ekonomi negara.

    Beliau menyatakan MoU yang dimeterai itu dapat menjadi pelan tindakan bagaimana institusi pendidikan tinggi Brunei boleh bekerjasama pada masa hadapan.

    Dr Haji Mohd Zamri (kanan) dan Sylvester Yong (kiri) menandatangani MoU dengan disaksikan oleh Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah. – GAMBAR OLEH LYNA MOHD
    Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah bergambar ramai pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH LYNA MOHD

    Ia membuka jalan untuk penjajaran yang lebih kukuh merentasi sektor teknikal, swasta dan awam, standard akademik yang dikongsi dan integrasi kurikulum, laluan kemajuan baharu dalam pelbagai bidang serta sistem pembangunan bakat kebangsaan yang lebih kukuh dan bersatu padu.

    “Inilah cara kita memastikan Brunei kekal berdaya saing, berdaya tahan dan bersedia untuk masa hadapan,” tekan Dr Haji Mohd Zamri.

    MoU itu bermatlamat untuk mewujudkan kerjasama strategik yang memudahkan peluang kemajuan akademik dan profesional untuk graduan IBTE HNTec.

    Di bawah kerjasama berkenaan, graduan yang layak berpeluang untuk mendaftar pada tahun pertama Program UTB-MIC di MIC dan setelah berjaya menamatkan pengajian, mereka akan melanjutkan pelajaran ke UTB untuk mengikuti tahun kedua dan terakhir program itu.

    Kedua-dua IBTE dan MIC berkongsi kepentingan bersama dalam mempromosikan laluan kemajuan yang lancar untuk graduan HNTec IBTE bagi melanjutkan pelajaran mereka melalui Program Ijazah UTB-MIC dalam Teknologi Maklumat dan Perniagaan, memastikan keselarasan dengan kelayakan HNTec dan piawaian akademik yang dipersetujui bersama.

    Inisiatif itu bertujuan menyediakan peluang yang lebih besar untuk graduan IBTE memajukan pendidikan mereka sementara memastikan keselarasan dengan rangka kerja kelayakan kebangsaan dan piawaian akademik yang dipersetujui bersama.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda