Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    MoU strategik Bank Baiduri, UBD perkasa inovasi dan bakat digital

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 NOV – Dalam menubuhkan rangka kerja strategik bagi kolaborasi dalam bidang penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat, Bank Baiduri dan Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah memeterai Memorandum Persefahaman di antara kedua-dua buah institusi dalam majlis penandatanganan MoU yang berlangsung di Ruang Komuniti Baiduri, Ibu Pejabat Bank Baiduri, hari ini.

    Hadir untuk menyaksikan penandatanganan MoU berkenaan, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.

    Majlis turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan kerajaan, ahli jawatankuasa pengurusan kanan Bank Baiduri serta pengurusan UBD.

    Gambar atas & bawah menunjukkan, Ti Eng Hui dan Dr Hazri bergambar dengan MoU yang dimeterai dengan disaksikan oleh YB Pengiran Dato Seri Setia Shamhary.

    Pada majlis berkenaan, Memorandum Persefahaman berkenaan telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui dan Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam, Dr Hazri bin Haji Kifle.

    Terdahulu, Ti Eng Hui dalam ucapan alu-aluannya menyatakan kolaborasi mereka dengan UBD mencerminkan komitmen bersama dalam memupuk bakat siaga masa depan dan memajukan ekosistem inovasi Brunei.

    Beliau menerangkan bahawa dengan industri perbankan yang berubah, kita menyaksikan lebih banyak peluang untuk memanfaatkan teknologi digital dan pandangan berpandukan data.

    Ti Eng Hui menyampaikan ucapan alu-aluannya.

    “Kerjasama kami dengan UBD melengkapi perjalanan transformasi digital Bank Baiduri yang lebih luas, daripada pemodenan sistem teras kami kepada penggunaan AI dan analitik data, meletakkan asas untuk inovasi yang memberi manfaat kepada pelanggan, kakitangan dan komuniti kami,” ulasnya lagi.

    Sementara itu, Dr Hazri dalam ucapan alu-aluannya pula menerangkan bahawa ekosistem yang dibina bersama merupakan sebuah ekosistem yang menyokong secara langsung visi Pelan Transformasi Digital Brunei, yang akan menggantikan Pelan Induk Ekonomi Digital.

    Beliau menyatakan bahawa mereka bukan sahaja mempersiapkan diri untuk masa depan tetapi juga secara aktif membentuknya, memastikan Brunei adalah sebuah Negara Pintar yang diperkukuhkan oleh bakat kelahiran tempatan.

    Sempena sambutan ulang tahun Ke-40 UBD, ulasnya, pihaknya bukan sahaja merenungkan kembali empat dekad pendidikan dan khidmat kepada negara tetapi juga menantikan empat puluh tahun akan datang.

    Dr Hazri menyampaikan ucapan alu-aluannya.

    “Kerjasama dengan Bank Baiduri ini merupakan asas kepada masa depan itu. Kerjasama ini membuktikan komitmen kami untuk kekal relevan, berpandangan ke hadapan dan berhubung kait secara mendalam dengan keperluan komuniti dan industri kami”.

    Kerjasama antara Bank Baiduri dan UBD, menandakan satu peristiwa penting dalam menyelaraskan industri dan akademik untuk menyokong transformasi digital Brunei. Dengan kecerdasan buatan (AI) sebagai tumpuan utama, kedua-dua institusi akan meneroka inisiatif penyelidikan bersama dalam aplikasi AI yang berkaitan dengan perkhidmatan kewangan dan seterusnya, termasuk analisis data, automasi dan pengurusan risiko digital.

    Usaha-usaha berkenaan secara langsung menyokong Pelan Transformasi Digital Brunei MTIC, yang bakal menggantikan Pelan Induk Ekonomi Digital, membayangkan sebuah Negara Pintar yang dikuasakan oleh inovasi inklusif, tadbir urus AI yang beretika dan bakat berkemahiran digital.

    School of Digital Science (SDS) UBD, yang baru-baru ini, diiktiraf dengan Anugerah Inovasi AI Coursera 2024 untuk Asia Pasifik, telah muncul sebagai peneraju serantau dalam pendidikan AI.

    YB Pengiran Dato Seri Setia Shamhary yang menghadiri majlis penandatanganan MoU berkenaan.

    Program Kecerdasan Buatan Gunaannya menggabungkan akademik dengan pembangunan sistem secara langsung, menghasilkan graduan yang dilengkapi untuk menerajui masa depan digital Brunei.

    Melalui MoU itu, Bank Baiduri akan bekerjasama dengan SDS untuk membangunkan bersama projek penyelidikan gunaan, menganjurkan pertukaran akademik dan meneroka penubuhan kemudahan makmal bersama di UBD, mewujudkan platform kongsi untuk eksperimen, latihan dan inovasi.

    Kerjasama itu juga membuka laluan baharu bagi penglibatan pelajar dengan pelajar UBD memperoleh pengalaman praktikal melalui latihan amali dan perantisan di seluruh Bank Baiduri dan anak syarikatnya, membina kesediaan tenaga kerja dalam bidang seperti sistem pintar, teknologi kewangan dan operasi digital.

    Kedua-dua pihak akan meneroka lebih lanjut bimbingan, penajaan dan projek berasaskan penyelidikan untuk memperkukuh hubungan antara pendidikan dan industri.

    Inisiatif itu juga sejajar dengan agenda kebangsaan Brunei yang lebih luas untuk pembangunan AI yang bertanggungjawab dan inklusif.

    Penerbitan Panduan Tadbir Urus dan Etika AI untuk Brunei Darussalam, baru-baru ini, dan penguatkuasaan Perintah Perlindungan Data Peribadi 2025 (PDPO 2025) yang akan datang mencerminkan komitmen negara untuk membina ekosistem digital yang dipercayai.

    YB Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bergambar-ramai dengan jemputan khas pada majlis berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Rangka kerja itu berfungsi sebagai penghadang bagi inovasi beretika, memastikan penggunaan AI berasaskan akauntabiliti, ekuiti dan nilai-nilai Brunei.

    Kerjasama antara Bank Baiduri dan UBD akan diperkukuhkan lagi dengan penggubalan Strategi AI Kebangsaan Brunei dan Rangka Kerja Sains, Teknologi dan Inovasi Kebangsaan (STI), kedua-duanya sedang dibangunkan oleh MTIC.

    Strategi itu bertujuan untuk mempercepatkan penggunaan AI merentasi sektor, meningkatkan kapasiti inovasi dan menyelaraskan cita-cita digital Brunei dengan piawaian antarabangsa.

    Ia dibina berdasarkan kerjasama Baiduri Capital baru-baru ini dengan UBD untuk meningkatkan literasi pelaburan dan pendidikan kewangan, seterusnya menerapkan peranan Bank dalam membentuk masyarakat yang diperkasakan secara digital.

    Inisiatif itu mengukuhkan lagi komitmen Bank Baiduri terhadap Insan, Proses dan Planet di bawah Baiduri Greenprint, menyokong program yang memperkasakan individu, menggalakkan pertukaran pengetahuan dan mengukuhkan landskap inovasi dan bakat Brunei.

    Ketika Brunei mempercepatkan perjalanan transformasi digitalnya, perkongsian seperti ini berfungsi sebagai pemangkin untuk kemajuan yang mampan, di mana pendidikan, teknologi dan industri bertemu untuk membentuk masa depan yang lebih pintar dan berdaya tahan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda