Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Bagi meningkatkan pertanian dan alam sekitar pintar melalui projek penyelidikan di Brunei, Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan ANIAN Sdn Bhd (ANIAN) hari ini telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang berlangsung di Bilik Persidangan Utama UTB.
Menandatangani bagi pihak UTB ialah Pemangku Naib Canselor UTB, Haji Ady Syarmin bin Haji Mohd Taib, manakala bagi pihak ANIAN pula ialah Pengarah Urusan dan Pengasas Bersama ANIAN, Nicolas Guillou.
Hadir sama di majlis itu ialah pegawai-pegawai kanan UTB dan pegawai-pegawai ANIAN.
UTB pada masa ini bekerjasama dengan Wireless and Photonic Network Research Centre (WiPNET) dan Institute of Tropical Forestry and Forest Products (INTROP) Universiti Putra Malaysia (UPM); MIMOS Berhad, Malaysia; Fakulti Perhutanan, Universiti Agrikultur Bogor, Indonesia; National Institute of Information and Communications Technology (NICT) Asia Center, Thailand; IPB University, Bogor, Indonesia; dan Badan Pengkajian dan Penerapan Teknologi (BPPT) Indonesia bagi Projek NAPC: Networked ASEAN Peat Swamp Forest Communities bagi penyelesaian berasaskan Internet Pelbagai Benda (IoT) dalam pemantauan hutan paya gambut sekali gus menyasarkan isu alam sekitar dan pertanian. Projek tersebut dibiayai oleh projek ASEAN-ICT Virtual Organisation 2018 dari NICT, Jepun.
MoU bersama ANIAN hari ini akan membekalkan UTB dengan ‘gateway’ luaran dan dalaman Long Range Wide Area Network (LoRaWAN) serta menyediakan dan mentadbir liputan rangkaian LoRaWAN untuk NAPC bagi Projek Agrikultur Pintar dan makmal IoT UTB.
ANIAN juga akan menyediakan sokongan teknikal kepada kakitangan dan pelajar-pelajar UTB dari segi pemindahan pengetahuan dan menyediakan peluang penempatan kerja untuk pelajar semasa pengajian mereka serta peluang pekerjaan berikutan tamat pengajian mereka.
UTB juga menerima pembiayaan dan sokongan teknikal dari Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI) dan ANIAN bagi projek penyelidikan pintar yang akan menjadi yang pertama seumpamanya untuk digunakan di Brunei.
Pada masa ini, ANIAN menggerakkan rangkaian komunikasi berasaskan LoRa untuk memudahkan pelaksanaan IoT di seluruh Brunei yang membolehkan universiti, kerajaan dan sektor swasta melaksanakan projek-projek untuk kes penggunaan bandar, pertanian, bangunan dan alam sekitar pintar.

