Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OKT – Bagi memperkukuhkan hubungan dalam bidang penyelidikan, pendidikan serta program latihan dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Politeknik Brunei (PB) dan Huawei Technologies (B) Sdn Bhd menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang berlangsung di Kampus Ong Sum Ping, PB, Bandar Seri Begawan, hari ini.
Penandatanganan MoU berkenaan menandakan permulaan kerjasama strategik di antara kedua-dua institusi berkenaan.
Menandatangani bagi pihak PB ialah Pemangku Pengarah PB, Pengiran Dr Saiful Baharin bin Pengiran Haji Duraman dan disaksikan oleh Pemangku Pengetua PB, Hajah Armah binti Tengah.
Manakala menandatangani bagi pihak Huawei Technologies (B) Sdn Bhd ialah Pengurus Pembangunan Perniagaan Utama Huawei Technologies (B) Sdn Bhd, Peng Limeng, disaksikan oleh Pengarah Akaun Huawei Technologies (B) Sdn Bhd, Chen Shaoyu.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Technologies (B) Sdn Bhd, Lou Yang bersama Pemangku Penolong Pengarah (Korporat, Perancangan dan Pembangunan) PB, Hajah Dinah Haziqah binti Haji Johan; Pemangku Penolong Pengarah (Akademik), Dayang Rahimah binti Mohiddin serta beberapa ketua bahagian, ketua sekolah dan pegawai lain.



Terdahulu sebelum penandatanganan berkenaan, Pengiran Dr Saiful Baharin dalam ucapan alu-aluannya menerangkan MoU itu bermatlamat untuk mewujudkan, mempromosikan dan membangunkan kerjasama antara PB dan Huawei Technologies serta berfungsi sebagai rangka kerja umum untuk mewujudkan kerjasama dalam membangunkan bakat ICT generasi akan datang dan menyediakan latihan untuk memudahkan bakat dalam bidang ICT.
“Kerjasama ini bertujuan untuk mewujudkan platform bagi pertukaran pengetahuan, bakat dan sumber yang memberi manfaat kepada kedua-dua institusi dan yang paling penting, kepada para pelajar kami,” tambahnya lagi.
Salah satu inisiatif utama di bawah kerjasama berkenaan ialah pelaksanaan kursus-kursus ICT Huawei di PB. Kursus-kursus itu bertujuan bagi melahirkan tenaga profesional ICT yang berkemahiran tinggi serta membolehkan pelajar-pelajar untuk memperoleh kelayakan yang diiktiraf oleh industri, termasuk pensijilan rasmi Huawei.
Inisiatif itu memberi peluang berharga kepada kakitangan dan pelajar untuk mendapatkan pensijilan bertaraf antarabangsa sepanjang tempoh pengajian mereka di PB.
Selain itu, kerjasama itu turut merangkumi rangka kerja yang menyediakan pengalaman pembelajaran berasaskan industri secara menyeluruh kepada pelajar. Antara yang termasuk dalam program berkenaan ialah sesi perkongsian industri, kursus pensijilan seperti Huawei Certified ICT Associate dalam Cloud Service Solutions Architect dan kursus 5G seperti penyertaan dalam pertandingan ICT anjuran Huawei, lawatan akademik ke ibu pejabat Huawei di China, program latihan industri serta peluang penempatan kerjaya.
Pelajar-pelajar yang berjaya menamatkan program itu akan menerima pensijilan rasmi daripada Huawei.
Melalui MoU itu juga, akan dilancarkan Program PB–Huawei Talent Pool yang akan memberikan keutamaan kepada pelajar-pelajar PB untuk mengikuti latihan industri serta peluang pekerjaan sepenuh masa dalam ekosistem Huawei.

