LONDON, 9 APRIL – Pengurus pasukan Tottenham Hotspur, Jose Mourinho telah mengakui bahawa dia melakukan kesilapan kerana mengadakan sesi latihan satu lawan satu bersama pemain tengah, Tanguy Ndombele di taman awam di London.
Mourinho yang dilihat di media sosial melanggar perintah kerajaan dengan mengadakan perjumpaan dengan pemain tengah tersebut pada Selasa, walaupun mereka dilihat mematuhi garis panduan penjarakkan sosial.
Rakan sepasukan Spurs yang lain, Davison Sanchez dan Ryan Sessegnon turut kelihatan berlari beriringan dalam sesi yang berbeza, sementara Serge Aurier merakam video dirinya sendiri menerusi laman sosial Instagram sedang berlari bersama seorang rakan.
“Saya terima tindakan saya tidak selari dengan protokol kerajaan dan kami mesti hanya membuat kontak bersama dengan orang isi rumah kita sahaja,” kata pengurus kelahiran Portugal tersebut.
“Ia adalah penting bagi kita semua untuk memainkan peranan dan mengikut arahan kerajaan untuk menyokong wira kita di NHS dan menyelamatkan nyawa.”

Datuk bandar Sadiq Khan memberitahu BBC bahawa pemain dan Mourinho sepatutnya menjadi contoh kepada semua.
“Kerisauan kita adalah orang ramai, terutama kanak-kanak, yang mungkin terdiri daripada peminat Spurs atau rakan bola sepak mungkin melihat imej ini, membaca dari akhbar, menonton dari Internet dan berfikir, jika ia okey bagi mereka, kenapa ia tidak okey bagi kami?” katanya.
Liga Perdana Inggeris telah digantung sejak pertengahan Mac disebabkan oleh penularan wabak COVID-19.
Kerajaan Britain telah melaksanakan beberapa siri langkah yang tegas untuk mencegah penularan virus dan Tottenham telah mengingatkan pemainnya mengenai tanggungjawab mereka.
Kelab tersebut berkata minggu lalu mereka akan menggunakan program bantuan kewangan kerajaan bagi kakitangan mereka, satu langkah yang dilihat sebagai kontroversial dan banyak menerima kritikan. – AFP