Tuesday, July 15, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mourinho benarkan Ibrahimovic sertai MLS

    MANCHESTER, 30 Jan – Zlatan Ibrahimovic dibenarkan meninggalkan Manchester United untuk menyertai Liga Bolasepak Major Amerika (MLS) jika perjanjian dapat dipersetujui kata pengurus, Jose Mourinho, semalam.

    Bekas penyerang Sweden itu kuat dikaitkan dengan perpindahan ke kelab LA Galaxy susulan kehadiran Alexis Sanchez di Old Trafford dari Arsenal.

    Ibrahimovic, 36, bergelut untuk meraih kembali prestasi terbaiknya selepas tujuh bulan tersisih susulan kecederaan ligamen lutut yang serius yang diperolehnya ketika perlawanan Liga Europa bertemu Anderlecht, April tahun lalu.

    Dia begitupun menandatangani kontrak lanjutan setahun pada Ogos apabila pulih lebih pantas daripada jangkaan tetapi hanya membuat satu penampilan dalam liga sejak November dan tidak bermain sejak 26 Disember berikutan masalah berulang.

    Jendela perpindahan MLS dibuka pada pertengahan Februari dan ditutup pada Mei bermakna LA Galaxy tidak perlu mendapatkan perjanjian daripada United sebelum perpindahan di liga Inggeris berakhir pada Rabu ini.

    Ibrahimovic dibenarkan meninggalkan Manchester United untuk menyertai Liga Bolasepak Major Amerika (MLS) jika perjanjian dapat dipersetujui kata pengurus, Jose Mourinho, semalam. – AFP

    Mourinho yang ditemui menjelang pertembungan United dengan Tottenham di laman lawan, Rabu ini mengatakan dengan jelas Ibrahimovic tidak bercakap dengannya mengenai perpindahan ke Amerika Syarikat.

    Tetapi beliau bersedia untuk membantu menyelesaikan perpindahan berkenaan jika itu yang dimahukan Ibrahimovic.

    “Dia tidak memberitahu saya apa-apa,” kata Mourinho ketika sidang media. “Pertama kali saya mendengarnya adalah daripada kamu, daripada media.

    “Saya membaca beberapa laman web dan mendengar beberapa siaran televisyen. Dia tidak pernah menyebutnya kepada saya, jadi saya tidak tahu.

    “Zlatan berada pada tahun terakhir dalam kontraknya. Saya ulang, dia tidak pernah bercakap mengenainya, tetapi jika ia benar dan Zlatan mahukan masa depan dengan kelab di negara lain, kami di sini bersedia untuk merealisasikannya, bukan untuk menyukarkan hidupnya.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda