BRUSSELS, 14 April – Leander Dendoncker muncul penyelamat Anderlecht untuk memastikan perlawanan berkesudahan seri 1-1 menentang Manchester United dalam suku akhir pertama Liga Europa awal pagi tadi.
Manakala pengurus United, Jose Mourinho mengkritik barisan bintang pemainnya ‘cuai’ selepas dibolosi dengan jaringan penyamaan itu.
United mempunyai banyak peluang untuk memuktamadkan perlawanan itu selepas jaringan pembukaan di separuh masa pertama Henrikh Mkhitaryan dari sudut sempit, tetapi kegagalan mereka menyempurnakan peluang lain telah menghantui mereka sekali lagi apabila Dendoncker membuat tandukan kencang ketika perlawanan berbaki empat minit.
“Kami perlu memuktamadkan perlawanan. Kami mempunyai banyak peluang, penguasaan, tetapi kami tidak menjaringkan banyak gol,” kata bos United itu.
“Terdapat banyak ruang untuk menghabiskan perlawanan, beberapa peluang keemasan yang kami gagal sempurnakan kerana sentuhan teruk, cuai, keputusan salah di petak lawan.” “Keputusan adalah positif,” tegas Mourinho, dengan perlawanan kedua akan berlangsung di Old Trafford minggu depan.

“Saya fikir keputusan perlawanan perlu lebih bagus, kami hanya perlu menyalahkan diri sendiri.
“Kami mempunyai perlawanan mudah di separuh masa kedua dan kami tidak memanfaatkannya, kami kehilangan bola dengan mudah.
“Kami membuat keputusan, sentuhan yang cuai ketika mengawal bola dan telah memberikan mereka peluang untuk membuat serangan balas.”
Mourinho memuji barisan pemain pertahanan yang kental sehingga tibanya jaringan lewat Dendoncker, membiarkan pemain tengah itu melompat menewaskan Matteo Darmian dan Marcus Rojo bagi membuat tandukan.
“Ia adalah persembahan kukuh bagi mereka, dari pertahanan,” kata Mourinho. – AFP