MANCHESTER, 26 Feb – Pengendali Manchester United, Jose Mourinho percaya bahawa adalah penting baginya dan pengendali Chelsea, Antonio Conte untuk mengetepikan dan melupakan perbalahan mereka dengan berjabat tangan sebelum dan selepas perlawanan yang menyaksikan kemenangan United ke atas Chelsea 2-1, semalam.
Perbalahan antara Mourinho dan Conte mencapai kemuncaknya bulan lalu apabila Mourinho memetik pertuduhan yang dibawa oleh Persekutuan Bola sepak Itali pada 2012 bahawa Conte gagal melaporkan skandal mengatur perlawanan yang melibatkan kelab lamanya Siena pada musim 2010-2011.
Bekas pengendali Juventus itu, Conte pernah menerima hukuman awal penggantungan selama 10 bulan yang kemudiannya dikurangkan kepada empat bulan sebelum kes itu disingkirkan pada 2016.
Conte membalasnya dengan menyebut Mourinho sebagai ‘lelaki kerdil’ namun kedua-duanya saling tersenyum sebelum perlawanan bermula dan berpelukan seketika sejurus United bangkit daripada ketinggalan untuk menang di Old Trafford hasil sepakan gol daripada Romelu Lukaku dan Jesse Lingard.
“Saya fikir berjabat tangan tidak memerlukan sebarang kata-kata,” kata Mourinho.

“Saya rasa itu adalah apa yang saya dan Antonio mahu tunjukkan kepada semua orang.
“Berjabat tangan sebelum dan selepas perlawanan adalah satu contoh bahawa dalam bola sepak anda perlu meneruskan kehidupan dan saling menghormati antara satu sama lain.
“Mourinho dan Conte bukan orang asing dalam bola sepak. Kami mempunyai sejarah, imej dan saya gembira dengannya,” ujarnya.
Sementara itu, Conte pula tidak berlebih-lebihan ketika ditanya sama ada dia dan Mourinho memutuskan untuk berbaik sebelum perlawanan itu. – AFP