ISTANBUL, 28 FEB – Ketua jurulatih Fenerbahce, Jose Mourinho, dikenakan penggantungan empat perlawanan dan denda lebih daripada 40,000 euro oleh persekutuan bola sepak Turkiye kelmarin berikutan kenyataannya selepas perlawanan derbi Istanbul yang tegang menentang Galatasaray.
Selepas perlawanan pada Isnin berakhir dengan keputusan seri 0-0, Mourinho yang berusia 62 tahun berkata bahawa bangku simpanan pasukan tuan rumah telah ‘melompat seperti monyet’.
Dia juga dilaporkan mengulangi kritikannya terhadap pengadil Turkiye.
Fenerbahce menyatakan bahawa kenyataan Mourinho telah diambil di luar konteks.
Majlis disiplin persekutuan bola sepak Turkiye (TFF) kelmarin menjatuhkan hukuman penggantungan dua perlawanan kerana komennya terhadap pengadil keempat dan dua perlawanan tambahan kerana kecamannya terhadap bangku simpanan Galatasaray.
Kenyataannya itu dianggap bertentangan dengan etika sukan.
Mourinho, yang pasukannya ketinggalan enam mata di belakang pendahulu liga, Galatasaray, turut dikenakan denda lebih 42,000 euro. – AFP
