ISTANBUL, 29 OGOS – Fenerbahce hari ini memecat jurulatih Portugal, Jose Mourinho, selepas mereka gagal mara ke peringkat liga Liga Juara-Juara, menurut kenyataan kelab Turkiye itu.
Mourinho, yang pasukannya tersingkir pada Rabu kepada kelab Portugal, Benfica, dipecat tidak lama selepas pesaing domestik, Besiktas, menyingkirkan seorang lagi bekas pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer.
Besiktas pula tewas kepada Lausanne dari Switzerland pada Khamis dan gagal mara ke peringkat Liga Konferensi UEFA.
Fenerbahce mengeluarkan kenyataan ringkas mengumumkan pemecatan Mourinho.
“Kami telah berpisah dengan Jose Mourinho, yang berkhidmat sebagai jurulatih utama pasukan profesional A kami sejak musim 2024-2025. Kami mengucapkan terima kasih atas segala usahanya untuk pasukan kami dan mendoakan kejayaan dalam kerjaya masa depannya,” kata kenyataan itu.

Bekas jurulatih Chelsea, Real Madrid, Inter Milan, Manchester United, Tottenham Hotspur dan Roma itu, yang menyertai kelab pada Jun 2024, telah membawa Istanbul Yellow Canaries ke tempat kedua liga musim lalu di belakang Galatasaray.
Apabila Mourinho, 62 tahun, tiba di Istanbul 14 bulan lalu, ‘The Special One’ itu disambut seperti bintang rock oleh penyokong yang berpakaian kuning dan hitam Fenerbahce.
“Tiada janji. Tetapi jelas sasaran utama, impian utama ialah memenangi Liga Super Turkiye,” kata jurulatih yang dua kali memenangi Liga Juara-juara itu semasa tiba.
Namun, dia gagal merealisasikan impiannya menamatkan kekeringan gelaran yang telah menghantui kelab sejak 2014.
Mourinho, yang rekod kejurulatihannya baru-baru ini di Spurs, Roma dan kini Fenerbahce telah mencalarkan reputasinya, turut menghadapi beberapa kegagalan sepanjang tempohnya di Istanbul. – AFP

