WATFORD, 29 Nov – Bos Manchester United, Jose Mourinho yakin kemarau gol dialami oleh Romelu Lukaku akan berakhir sebaik sahaja dia mendapat perjanjian but yang baru.
Lukaku membantu Anthony Martial menjaringkan gol ketika United menewaskan Watford 4-2 dalam saingan Liga Perdana, awal pagi tadi tetapi dia mensia-siakan tiga peluang untuk menjaringkan gol. Situasi itu menyaksikan dia kini hanya menjaringkan satu gol dalam 11 penampilannya.
Penyerang Belgium itu bermain dengan menggunakan but berwarna hitam kerana dia kini dalam perbincangan kontrak but dan dalam nada berseloroh, Mourinho, berkata pemain itu akan kembali menjaringkan gol sebaik sahaja dia mendapat kontrak tajaan yang baru.
“Saya fikir dia memerlukan kontrak tajaan but yang besar kerana setakat ini dia tidak terikat dengan mana-mana kontrak,” kata Mourinho.
“Sebab itu dia bermain menggunakan but berwarna hitam. Dia perlukan jenama yang boleh berikan dia but dan membayarnya dengan jumlah yang baik, jadi dia akan kembali menjaringkan gol.
“Namun, ini hanya gurauan, dia melaksanakan tugasnya dengan baik bersama pasukan. Saya tidak akan menyalahkan pemain seperti dia hanya disebabkan dia terlepas peluang mudah untuk menjaringkan gol. “Dengan saya, dia sedar bahawa dia tidak diberikan tekanan. Dia pemain yang menakjubkan, profesional dan mempunyai cita-cita tinggi, saya lebih daripada gembiranya dengannya,” kata Mourinho. – AFP