Mourinho: Siap sedia dengan perasaan kosong

LONDON, 14 JUN – Jose Mourinho percaya pasukan Tottenham Hotspurnya harus cepat menyesuaikan diri dengan realiti baharu bermain perlawanan tanpa peminat ketika mereka meneruskan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Manchester United pada 19 Jun ini.

Spurs menentang Norwich City dalam pertandingan persahabatan tanpa penonton di Stadium Tottenham Hotspur Jumaat lalu, dengan semua baki perlawanan EPL akan dimainkan di belakang pintu tertutup sebagai langkah panduan kesihatan mengekang penularan wabak COVID-19 yang menyebabkan EPL ditangguhkan beberapa bulan.

“Ini adalah sesi latihan yang baik,” kata Mourinho kepada laman web kelab itu setelah perlawanan yang dibahagikan kepada empat bahagian masa dengan 30 minit untuk memberi lebih banyak peluang pemain pada waktu perlawanan.

“Kami memerlukan beberapa minit, kami perlu tahu perasaan bermain tanpa penyokong kami dan mengadakan sesi latihan ini dengan pasukan EPL lain adalah perkara terbaik,” jelas pengurus berbangsa Portugal itu.

“Kami harus menyesuaikan diri dengan normal baharu ini, seperti apa yang kami cuba lakukan, untuk menyesuaikan perasaan bermain dengan stadium yang kosong.

Jose Mourinho menegaskan pasukannya, Tottenham Hotspurnya menyesuaikan diri dengan realiti baharu beraksi tanpa peminat ketika mereka meneruskan kempen EPL. – AP

“Yang penting ada sebab untuk diperjuangkan sama ada dengan atau tanpa peminat, di atas lapangan, kami dan United harus berjuang untuk mereka.”

Spurs perlu memenangi sebahagian besar dari sembilan perlawanan liga mereka jika mereka mahu layak ke Liga Juara-Juara.

Satu lagi berita yang menggembirakan untuk kelab London utara itu, di mana pemain-pemain seperti Harry Kane, Moussa Sissoko, Son Heung-min dan Steven Bergwijn semuanya kembali beraksi menentang Norwich setelah pulih dari kecederaan semasa sekatan.

Mourinho, yang juga merupakan bekas pengurus Chelsea dan Manchester United, menambahkan “Kami memutuskan untuk menurunkan mereka dan memberikan jumlah minit yang hampir sama kepada semua pemain.

“Kami tidak mahu mana-mana pemain berada dalam keletihan dan tentunya tidak ada yang tidak bermain.

“Kita semua tahu bahawa dalam perlawanan pertama ini dan persahabatan, ada juga risiko berdepan kecederaan.” – AFP