LONDON, 21 OKT – Pengurus Benfica, Jose Mourinho, percaya kemenangan Piala Liga England yang dinanti-nantikan dan menamatkan kemarau kejuaraan Newcastle akan mendorong pasukan dari timur laut England itu meraih kejayaan lebih gemilang.
Jurulatih veteran dari Portugal itu memiliki hubungan istimewa dengan Newcastle United, memandangkan kelab itu pernah disokong dan kemudiannya dibimbing oleh mendiang Bobby Robson iaitu mentor pengurusannya ketika di Sporting Lisbon, Porto dan Barcelona.
Ketika ditanya bagaimana bekas pengurus England, Robson, akan reaksi terhadap kemenangan Newcastle ke atas Liverpool dalam final Piala Liga musim lalu, yang menamatkan 70 tahun penantian kelab yang memiliki penyokong setia itu untuk meraih trofi domestik utama, Mourinho berkata kelmarin, “Bobby adalah legenda bagi kelab ini dan di England.”
Mourinho menyatakan hal itu menjelang perlawanan Liga Juara-Juara Benfica menentang Newcastle hari ini dan menambah, “Beliau menyayangi kelab ini, dia memberikan segalanya untuk kelab ini.
“Sudah tentu dia akan begitu gembira dengan kemenangan dalam Piala Liga itu. Saya sendiri juga sangat gembira dengan kemenangan itu.”
“Saya tahu ia bukan matlamat akhir. Saya tahu Newcastle dan semua Geordie mahukan ganjaran yang lebih besar daripada Piala Liga, tetapi Piala Liga adalah permulaan,” ujarnya. – AFP


