Friday, April 19, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Movember pupuk kesedaran kesihatan lelaki

    Oleh Nurdiyanah R.

    Pembudayaan gaya hidup sihat merupakan tunjang utama dalam kehidupan seseorang, tidak kiralah sama ada tua atau muda, kaya atau miskin, mahupun lelaki atau wanita.

    Sebagai sokongan berteraskan nilai kesedaran terhadap kesihatan kaum lelaki, kempen Movember iaitu istilah gabungan perkataan moustache atau misai dan bulan November, telah diadakan setiap tahun pada bulan November.

    Kempen berkenaan memberi tumpuan kepada tiga bidang utama iaitu kanser prostat, kanser testis dan kesihatan mental serta pencegahan bunuh diri.

    The Brunei Cancer Centre (TBCC), Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) merupakan pusat rujukan rawatan kanser di Negara Brunei Darussalam yang komprehensif dengan kemudahan terkini untuk pengurusan holistik pesakit kanser yang terdiri daripada pemeriksaan dan pengesanan kanser awal sehingga kepada pengimejan nuklear lanjutan.

    Satu daripada empat lelaki hidap kanser

    Menurut statistik dari Pendaftaran Kanser Brunei Darussalam (BDCR), sebanyak 682 kes baharu telah didiagnosis pada tahun 2021, di mana 278 kes atau 41 peratus adalah lelaki.

    TBCC, PJSC merupakan pusat rujukan rawatan kanser di Negara Brunei Darussalam yang komprehensif dengan kemudahan terkini untuk pengurusan holistik pesakit kanser. – Gambar serahan PJSC
    Kanser kolorektal dan kanser paru-paru adalah penyakit lain yang turut dihidapi di negara ini, yang berkaitan secara langsung dengan faktor gaya hidup tidak sihat seperti obesiti.
    Semakin ramai lelaki di seluruh dunia mengalami tekanan hidup seperti tekanan kerja, stres dan pengasingan sehingga boleh membawa kepada isu kesihatan mental.

    Dianggarkan satu daripada empat lelaki di negara ini akan menghidap kanser sepanjang hayat mereka.

    Dalam pada itu, Negara Brunei Darussalam telah menyaksikan peningkatan 22.8 peratus dalam bilangan pesakit kanser baharu yang didiagnosis dalam tempoh lima tahun dari 2015 hingga 2019, berbanding 2010 hingga 2014.

    Jika trend progresif ini berterusan, kes kanser dijangkakan meningkat sebanyak 108 peratus antara tahun 2022 hingga 2040. Statistik membimbangkan ini boleh dikaitkan dengan beberapa faktor termasuk perubahan gaya hidup, tabiat merokok, penggunaan bahan toksik termasuk alkohol dan minuman yang mengandungi kafein, kekurangan aktiviti fizikal dan obesiti yang semakin meningkat.

    Kanser yang paling biasa dihidap dalam kalangan lelaki di negara ini ialah kanser kolorektal diikuti dengan kanser paru-paru dan prostat. Selain itu, jenis kanser yang juga dihidapi golongan lelaki ialah kanser testis dan penile.

    Kanser prostat

    Prostat adalah kelenjar di mana saiznya seperti walnut. Ia terletak di bawah pundi kencing dan mengelilingi uretra, iaitu tiub yang membawa air kencing keluar dari badan. Tugas utama prostat adalah untuk membantu menghasilkan air mani iaitu cecair yang membawa sperma.

    Kebiasaan simptom bagi kanser prostat adalah kesukaran untuk mula membuang air kecil, mengosongkan pundi kencing, menggelecek atau bocor selepas membuang air kecil, darah dalam air kencing dan kesukaran dalam mengekalkan ereksi.

    Sesetengah pengidap kanser prostat tidak mengalami sebarang simptom sehingga ia berkembang. Oleh itu, langkah mendiagnosis kanser prostat lebih awal membawa kepada hasil yang lebih baik dan kelangsungan hidup. Oleh itu adalah penting untuk menjalani pemeriksaan optimum untuk kanser prostat.

    Saringan adalah metodologi yang digunakan untuk pengesanan awal kanser sebelum timbulnya tanda dan gejala. Garis panduan pemeriksaan rutin untuk kanser prostat adalah gabungan ujian darah ringkas yang dipanggil prostate specific antigen (PSA) dan pemeriksaan klinikal kelenjar prostat (digital rectal examination) berdasarkan kategori risiko pesakit.

    Pemeriksaan disyorkan untuk lelaki berumur 50 tahun dan ke atas atau lebih awal jika terdapat sejarah kanser prostat dalam keluarga atau mereka yang mempunyai mutasi genetik seperti BRCA. Apabila disahkan menghidap kanser, transrectal ultrasound (TRUS) biopsi atau magnetic resonance imaging (MRI) akan dijalankan untuk siasatan lanjut.

    Selepas diagnosis kanser prostat, ujian lanjut seperti imbasan prostate specific membrane antigenpositron emission tomography (PSMA – PET) dilakukan untuk mengesan sama ada kanser telah merebak ke bahagian lain. Sama seperti kebanyakan strategi pengurusan kanser yang kebiasaannya melibatkan tri-modality treatment yang terdiri daripada kemoterapi, radioterapi dan pembedahan.

    Kenal pasti risiko kanser lain

    Berlainan dengan kanser prostat yang lebih terjadi pada golongan lelaki yang berusia lanjut, namun kanser testis kebiasaannya sering dihidapi dalam golongan lebih muda iaitu kumpulan umur 15 hingga 40 tahun. Gejala biasa ialah ketulan yang tidak menyakitkan atau bengkak, pada salah satu testikel atau sebarang perubahan dalam bentuk tekstur dan penampilan testikel.

    Kanser kolorektal dan kanser paru-paru adalah penyakit lain yang turut dihidapi di negara ini, yang berkaitan secara langsung dengan faktor gaya hidup tidak sihat seperti merokok, diet tinggi lemak dan obesiti. Saringan berkesan dengan stool occult blood dan colonoscopy untuk kanser kolorektal dan saringan imbasan CT dos rendah untuk kanser paru-paru tersedia untuk individu dengan tujuan pengesanan awal.

    Lelaki dan kesihatan mental

    Dalam kehidupan yang kian mencabar lebih-lebih lagi dengan impak pandemik yang melanda, pastinya ia turut memberi kesan kepada masyarakat secara menyeluruh yang tidak terkecuali kaum lelaki.

    Tidak dinafikan semakin ramai lelaki di seluruh dunia mengalami tekanan hidup seperti tekanan kerja, stres dan pengasingan sehingga boleh membawa kepada isu kesihatan mental termasuk kemurungan dan kecenderungan untuk membunuh diri.

    Kebanyakan lelaki tidak membincangkan secara terbuka kesihatan mental mereka dan situasi diri serta perasaan mereka akibat stigma sosial yang mana hal ini boleh membahayakan nyawa mereka tanpa ditangani dengan perubatan sebaiknya.

    Oleh yang demikian, bersama kita meningkatkan kesedaran diri dan insan-insan tersayang dengan membuat pemeriksaan berkala dan menjaga kesihatan secara menyeluruh.

    Pengesanan awal kanser adalah kunci kejayaan rawatan dan penyembuhan daripada kanser.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...