Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Bersempena Bulan Kesihatan Lelaki yang disambut pada setiap bulan November, Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) hari ini menganjurkan acara yang lebih dikenali sebagai Movember.
Movember merupakan acara peringatan di mana lelaki di seluruh dunia akan menyimpan misai pada bulan November manakala wanita turut tidak ketinggalan dalam menyokong acara tersebut.
Sehubungan itu, Early Detection Cancer Prevention Services (EDCPS) di bawah The Brunei Cancer Centre (TBCC) PJSC telah menganjurkan inisiatif bagi menyokong kempen Movember dengan tujuan bagi menggalakkan orang ramai khususnya kaum lelaki untuk lebih mengutamakan kesihatan mereka. Selain itu acara tersebut juga bertujuan meningkatkan kesedaran dan pengesanan kanser pada peringkat awal dalam mendiagnosis kanser prostat, kanser testikal dan kanser kolorektal yang merupakan kanser yang biasa dialami oleh kaum lelaki di negara ini.
Lebih 100 orang peserta dari organisasi korporat dan orang ramai telah menghadiri acara yang berlangsung selama sehari bertempat di RF Floor, PJSC.
Hadir semasa acara berkenaan ialah Pengarah Eksekutif PJSC, Dr Haji Mazrul Adimin bin Haji Awang Besar dan Duta Goodwill PJSC, Wu Chun yang juga selaku Messenger of Cancer Awareness.

Dalam ucapan alu-aluannya, Dr Haji Mazrul Adimin antara lain menjelaskan tentang kepentingan pengesanan awal dalam kanser. Beliau turut menggalakkan lebih ramai lelaki untuk tampil ke hadapan bagi mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara kerap serta tidak menjauhkan diri atau mengelak disebabkan stigma masyarakat.
Sementara itu semasa sesi interaktif, Wu Chun menekankan bahawa kehidupan adalah lebih berharga dari segalanya. Beliau menambah bahawa kita mempunyai kekuatan untuk mengalahkan kanser dengan mengamalkan gaya hidup sihat melalui penjagaan waktu tidur yang teratur, pemakanan seimbang dan mengamalkan aktiviti kecergasan secara rutin.
Lim Siew Yong yang merupakan bekas pesakit kanser tahap 4 semasa sesi interaktif bertajuk More than just a Moustache Let’s Share telah mengongsikan pengalaman sepanjang perjalanannya semasa menghidapi kanser dengan harapan ceritanya dapat mendorong lebih ramai orang untuk bertindak melawan kanser.
Selain itu, Pengarah TBCC, Dato Seri Laila Jasa Dr Babu Sukumaran dalam kapasitinya sebagai pakar Perubatan Onkologi dan Pakar Onkologi Radiasi, Dr Haji Jamsari Khalid turut hadir selaku ahli panel pada sesi interaktif berkenaan.
Sementara itu, sesi interaktif bertajuk Cakap-Cakap: Let’s Talk about Men’s Health juga berlangsung di sebelah petang. Aktiviti fizikal turut diperkenalkan kepada para hadirin pada kedua-dua sesi tersebut yang dipimpin oleh ahli fisioterapi dari Jabatan Pemulihan, PJSC, Muhammad Faez Tajuddin.