Monday, April 28, 2025
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Movember tumpu kesihatan lelaki

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – The Brunei Cancer Centre (TBCC), Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC), hari ini, telah menganjurkan forum sempena bulan Movember, Kempen Kesedaran Kesihatan Lelaki di Ruang Komuniti Bank Baiduri, Ibu Pejabat Bank Baiduri.

    Hadir semasa majlis itu ialah penaja acara kempen Movember PJSC, rakan kongsi acara, pelanggan korporat, kakitangan PJSC dan Bank Baiduri.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan PJSC, acara itu adalah untuk menyokong Program Kesejahteraan Pekerja Bank Baiduri dan bertujuan bagi menggalakkan kakitangan mereka untuk mengetahui lebih dalam lagi mengenai kanser lelaki dan kesihatan mental lelaki.

    Acara dimulakan dengan pengenalan Movember dan isu kesihatan lelaki seperti kanser prostat, kanser testis dan bunuh diri dalam kalangan lelaki.

    Kemudian ia diteruskan dengan ceramah bertajuk Kanser yang Sering Berlaku dalam Kalangan Lelaki di Negara Brunei Darussalam yang disampaikan oleh Pakar Perunding Onkologi Perubatan, Dr Ravi Sekhar Patnaik.

    Ahli panel forum bergambar ramai pada majlis berkenaan.

    Pakar Perunding Kanan Onkologi Radiasi dan Ketua Radioterapi, Dr Jacob Samuel Justin pula menyampaikan ceramah bertajuk Radioterapi: Rawatan untuk Kanser.

    Sesi ceramah berkenaan disusuli dengan forum yang dikendalikan oleh Pemangku Pengurus Pemasaran dan Perhubungan Awam, Awang Nazdeny Ardian bin Haji Johan.

    Ahli-ahli panel terdiri daripada Dr Ravi Sekhar Patnaik; Dr Jacob Samuel Justin; Pakar Psikologi Klinikal Kementerian Kesihatan, Haji Mohamad Danial Azizi Haji Mahadi dan seorang pesakit kanser, Aaron John Ho Junjie.

    Forum itu menekankan tentang kepentingan pemeriksaan saringan kanser untuk lelaki yang boleh didapati di Brunei di bawah Program Saringan Kesihatan Kebangsaan.

    Sesi diakhiri dengan ceramah kewangan yang disampaikan oleh Perancang Kewangan Kanan di Pengurusan Kekayan Baiduri, Awang Mohammad Aliff bin Haji Mat Japar.

    Menggunakan misai sebagai simbol penggerak pergerakan, matlamat Movember adalah untuk mengubah wajah kesihatan lelaki dengan menggalakkan lelaki bersuara, menormalkan perbualan tentang isu kesihatan lelaki dan mengambil tindakan untuk kesejahteraan yang lebih baik.

    Dengan Movember diadakan setiap tahun, TBCC berharap kempen itu dapat memulakan perbincangan mengenai isu kesihatan lelaki dan menggalakkan lelaki untuk bersuara.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda