‘Mowgli’ dijual demi arak

MOSCOW, 22 OKT – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun diumpamakan seperti Mowgli kerana menyalak, melolong dan merangkak seperti haiwan ketakutan ketika ditemui di tepi jalan selepas dia melarikan diri dari sebuah sangkar di Oryol, Rusia.

Daily Mirror melaporkan, kanak-kanak berkenaan dikenali sebagai Diana dijual kepada seorang pedofilia oleh ibunya bernama Madina, 38, semata-mata untuk mendapatkan arak.

Menurut laporan, kanak-kanak itu menyalak dan langsung tidak boleh bercakap, tidak dapat berjalan atau berdiri tegak selain tidur di atas lantai manakala mukanya kelihatan separuh umur sebenarnya.

Polis mendakwa ibu mangsa memaksanya tinggal di dalam sangkar dan di sebuah kandang usang bersama lembu semasa musim panas, dikunci di dalam bilik ketika musim sejuk dan tidak menggunakan peralatan makan seperti sudu serta garfu.

Dipercayai dia juga tinggal bersama haiwan lain seperti anjing, itik dan ayam di perkampungan di Luka Zhuravinka, dekat Oryol.

Ibu beranak lapan itu dilaporkan menafikan dakwaan berkenaan dan polis kini menyiasat kes tersebut atas tuduhan penderaan dan pengabaian. Bapa mangsa dari Belarus dilaporkan mati pada awal tahun ini. – AFP